
ADA dua hari lagi menjelang PRN pada 12 Ogos Sabtu ini. Suasana di Kedah seolah-olah telah beri gambaran mudah bahawa PERIKATAN NASIONAL akan kembali berkuasa di Wisma Darul Aman bagi sepenggal lagi.
Pergilah ke mana-mana, dan tanyalah siapa pun lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda yang seperti sudah tekad akan memilih PERIKATAN NASIONAL.
Sekiranya ada yang menyangka trend pengundi muda memilih PN kerana mudah terpengaruh dengan kesan serangan media sosial daripada pihak PN maka anggapan itu tidak tepat. Didapati pengundi dewasa dan warga emas juga ada yang beralih arah sama ada daripada PH ke PN dan daripada BN ke PN.
Ini menghairankan kerana banyak pihak menyangka gabungan perpaduan antara PH dan BN akan membawa bersama gabungan sokongan penyokong masing-masing. Anggapan ini jauh sangat meleset tambahan pula merujuk analisa terbaru kajian daripada Institut Yusuf Ishak ke atas pengundi Selangor kubu kuat PKR.
Kajian Institut Yusuf Ishak ke atas pengundi-pengundi di Selangor mendapati pengundi atau penyokong PH tidak akan memberikan undi kepada calon BN. Begitu juga pengundi atau penyokong BN tidak akan memberikan undi kepada calon PH. Sebaliknya kajian mendapati kedua-dua penyokong lebih selesa memberikan undi kepada PN.
Perlu diingat kajian ini dijalankan di Selangor yang mana fenomena Sanusi di Selangor tidak begitu kuat seperti di Kedah dan penyokong PAS Selangor tidak seramai di Kedah.
Selain daripada kajian yang dijalankan itu, terdapat juga rungutan, keluhan dan suara yang terlalu banyak mengenai ketidakpuasan hati penyokong terhadap rakan perpaduan yang lain. Ini mungkin kerana perbezaan ideologi politik yang melampau. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh mengenai kerusi Menteri Besar Kedah.
Seluruh penyokong BN mahukan Tokdet (Mahadzir Khalid) dipilih sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya PH-BN menang PRN Kedah. Penyokong BN beranggapan memilih atau memberikan undi kepada PH dalam PRN ini seperti bersetuju menjadikan Mahfuz sebagai bakal Menteri Besar Kedah.
Berlainan pula dengan penyokong PH enggan memberikan undi kepada BN kerana masih melekat kuat stigma label penyamun yang dilekatkan kepada Zahid. Kerana itu penyokong PH tidak akan menerima Mahadzir sebagai Menteri Besar Kedah.
Faktor lain ialah penyokong-penyokong PH-BN ingin memberi isyarat protes terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan. Penyokong BN tidak mahu kepada kepemimpinan Anwar dan campur tangan DAP, manakala penyokong PH pula merasa terhina terpaksa menerima Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kesimpulannya PN dijangka akan menang selesa dan akan terus berkuasa bagi sepenggal lagi. Kemenangan besar dan selesa bagi PERIKATAN NASIONAL membawa maksud PN perlulah berterima kasih kepada penyokong-penyokong PH-BN yang secara diam-diam menyokong PN.
ABU FATEH
10 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 10/8/2023
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064584887142/posts/pfbid02jBPwig1EQQMDRvv8vXFcpTgZm7riFmCdPgncTZFTT9E1hq774iKi9NDQRkXB24Q2l/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















