
JENIN (Tebing Barat yang diduduki): Seorang lelaki duduk bersila di atas sofa lantai corak bunga yang usang, keffiyeh (kain penutup kepala) dibalut rapat pada mukanya untuk melindungi wajahnya.
Lelaki ini adalah antara pejuang penentang Palestin yang tinggal di kem pelarian Jenin – kawasan pencerobohan dua hari yang ganas dan menyebabkan kematian oleh tentera Israel awal bulan ini. Tangannya menghayun senjata automatik yang kilauan logam senjata itu berbeza dengan kesuraman bahagian dalam apartmen itu.
Di sebalik penampilan hebat pejuang yang berani di medan pertempuran, terdapat sisi hidupnya yang pernah bermimpi untuk menjalani kehidupan normal, kehidupan yang hanya mampu dilihatnya melalui televisyen.
Lelaki berusia 29 tahun itu pernah bekerja dengan sebuah pihak berkuasa tempatan, namun tiga tahun lalu, dia memilih menyertai penentangan bersenjata terhadap pendudukan Israel di tanah air Palestin.
“Kami tidak tahu apa-apa tentang kehidupan di luar kem Jenin,” pejuang itu yang tidak mahu namanya disiarkan kerana faktor keselamatan, berkata tentang hidupnya sebelum menyertai penentangan. “Kami tidak pernah melihat kolam renang atau laut dalam hidup.”
“Kami tidak akan serik”
Pada 2 Julai lalu, Israel melancarkan serbuan ke atas kem itu yang rejim haram Zionis dakwa untuk menghapuskan “pengganas” yang menguasai kawasan itu yang menempatkan kira-kira 14,000 penduduk. Tentera menyerbu kawasan itu dengan dron yang membawa bahan letupan dan peluru berpandu yang dilepaskan dari pesawat tanpa pemandu, manakala ratusan askar menyerbu kem.
“Kami hanya mempunyai senjata ringan. Mereka (tentera Israel) dengan kelebihan persenjataan bertindak ganas ketika pencerobohan itu. Mereka mahu menghapuskan kami,” katanya secara ringkas.
Mengimbas kembali serangan tanpa henti, ingatannya masih kuat apabila peluru berpandu yang disasarkan terhadap sekumpulan antara 20 hingga 30 pejuang, mencederakan 17 orang. Seramai 12 rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ke atas kem itu.
Dia menegaskan bahawa rancangan Israel sejak dahulu mahu menimbulkan ketakutan kepada pejuang dan masyarakat Palestin secara keseluruhan, tetapi tidak berhasil.
Bercakap dalam nada cepat dan yakin, dia menolak soalan yang tidak berkaitan dengan penentangan bersenjata dan mendedahkan sedikit emosi.
“Kami tidak akan dapat dihalang. Hanya kematian yang boleh menghalang kami. Mereka boleh membunuh kami, dalam hal ini kami akan mati syahid.”

“Kami tidak mahu ramai terkorban”
Antara kematian dan kemusnahan, pejuang itu menggambarkan masyarakat Palestin yang mempunyai hubungan rapat dan keazaman yang kukuh untuk melawan penjajahan.
Seperti yang diceritakannya, penduduk Jenin membuka pintu mereka kepada pejuang. “Mereka memberi kami makanan. Malah orang yang meninggalkan rumah mereka menulis mesej di peti sejuk supaya kami makan apa sahaja yang kami mahukan.”
Selepas serangan itu, pejuang itu mengatakan bahawa rasa kebersamaan membawa kepada ramai penduduk Palestin yang ingin mendaftar untuk turut berjuang. “Ramai yang mahu menyertai kami, tapi kami tidak mahu perluaskan pasukan. Kami tidak mahu lebih ramai yang terkorban,” katanya.
“Kami tahu Tuhan akan memberikan kemenangan”
Ramai pejuang terpaksa berundur dari kem semasa serangan tentera Israel, pengunduran taktikal yang mereka katakan telah lama mereka bersedia.
“Tuhan berada di sisi kami. Kami adalah orang yang beriman dan kami tahu bahawa Tuhan akan memberikan kami kemenangan,” katanya dengan yakin.
Baginya, rundingan dengan rejim Zionis hanya membuang masa dan tidak percaya bahawa akan ada penyelesaian politik yang akan menamatkan pendudukan wilayah Palestin.
“Kami tidak tahu ke mana kami akan pergi. Kami hanya menanti kematian,” katanya. Walaupun dengan pengakuan yang tidak pasti, keyakinan masih bersinar – walaupun Israel jauh lebih kuat dari segi ketenteraan berbanding pejuang Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Jika “Tuhan berada di pihak anda”, pejuang itu berkata, “tidak ada yang dapat mengalahkan anda.” – ALJAZEERA











