
KOTA BHARU: Pejabat Menteri Besar hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan tidak benar yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Hazmi Hassan.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Ustaz Mohd Asri Daud berkata pihaknya memandang serius dakwaan berlaku penyelewengan peruntukan projek khas sebanyak RM30 juta oleh kerajaan negeri.
Malah beliau berkata, tidak timbul isu penyelewengan kerana peruntukan tersebut sudah dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Belanjawan Kelantan 2023, November tahun lalu.
“Sedangkan ini sebenarnya mengandungi unsur fitnah kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri sebabnya peruntukan khas ada dalam Belanjawan 2023 dan diluluskan dalam Dun Kelantan.
“Bila dia pertikaikan masalah itu, sebenarnya dia mempersoalkan apa yang diputuskan dalam Dun dan peruntukan ini sudah diperincikan bahagiannya sebagaimana kandungan dalam kenyataan akhbar,” katanya.
Mohd Asri berkata lagi, projek khas sebanyak RM30 juta tidak membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan sebaliknya hanya digunakan untuk sejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
Menurutnya, ia membabitkan jaminan bekalan makanan, projek menangani banjir kilat, pinjaman mikro kredit dan pelaksanaan projek air komuniti di bawah bekalan sumber air dan bekalan air alternatif.
Beliau berkata, pelbagai isu ditimbulkan oleh PH untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan negeri tidak telus dan tidak berintegriti dalam mengagihkan peruntukan kepada rakyat.
Bahkan, ujarnya perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi untuk pulang mengundi pada PRN 12 Ogos ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas yang berasingan.
“RM30 juta ini untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Kelantan, tiada kaitan pun dengan pilihan raya ini dan bas itu kita sediakan peruntukan khusus pula bagi tujuan ini.
“Kerajaan telah buka permohonan ini, jadi yang ini tiada kaitan pun dengan dakwaan yang sengaja dilakukan untuk memberi gambaran kerajaan negeri tidak telus dalam pentadbiran,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2023











