
KANGAR: Kerajaan Perlis menggiatkan aktiviti bersama masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap amalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kempen itu dipergiatkan ekoran peningkatan kes demam denggi di Perlis sekarang.
Kata beliau kerajaan negeri sentiasa mengikuti dan memantau perkembangan terbaru kes denggi.
“Peningkatan mendadak iaitu sebanyak 443 kes (setakat 1 Julai lepas) berbanding tahun sebelum ini hanya 16 kes.
“Juga terdapat satu kes kematian yang direkod setakat hari ini,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.
Justeru itu kata beliau kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) meningkatkan langkah keselamatan dan pencegahan terutamanya di kawasan berlaku kes yang tinggi.
Menurutnya juga semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan memastikan semua kawasan operasi berada keadaan bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes.
“Masyarakat juga harus memberi perhatian kepada kebersihan di dalam dan luar rumah dengan memastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakkan aedes,” ujarnya.
Menteri Besar juga berkata, mana-mana individu yang didapati demam perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi demam denggi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, pihaknya bersama JKN giat memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kebersihan kawasan sekitar.
“Sebelum ini pun kita mengadakan program kesedaran kepada orang ramai dan sekarang akan dipertingkatkan lagi.
“Di samping mengambil pendekatan mendidik, kita juga mengenakan saman kepada mana-mana pihak yang didapati kawasan sekitarnya ada air bertakung,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023











