
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir semalam untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).
Ini, kata Pengerusi PN itu dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.
“Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua.
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
“Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi,” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah menetapkan 12 Ogos (Sabtu) sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Sementara itu, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai (Sabtu), manakala tarikh pengundian awal adalah pada 8 Ogos (Selasa), serta tarikh keluar writ pada 5 Julai (Rabu). – HARAKAHDAILY 5/7/2023




















