Kekurangan acara jejas pelancongan Port Dickson

- Advertisement -

PORT DICKSON: Semenjak Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) amat kurang penganjuran acara-acara seperti pertandingan memancing dan pesta pantai yang selama ini menjadi nadi Port Dickson.

Menurut seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zafrul, 33, semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini memang meriah dengan pesta pantai yang dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

- Advertisement -

“Dulu memang banyak promosi, acara, aktiviti pelancongan. Kalau dulu ada pesta air, pesta memancing.

“Pantai Bagan Pinang memang terkenal dengan pertandingan memancing. Hadiah memang besar-besar. Tapi sejak beberapa tahun ini dah kurang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur yang bersifat jangka panjang dan dapat menampung perkembangan pesat sektor pelancongan yang mungkin berlaku di sini.

“Kalau kita tengok di sini, ramai yang suka berkhemah. Tetapi dari segi infrastruktur yang diperlukan oleh mereka yang berkhemah tidak disediakan dengan baik. Antaranya tandas. Yang ada tu tandas medan selera. Sampai pukul 4 ke pukul 5 petang saja.

“Setahu saya memang tak ada pihak yang menguruskan tapak perkhemahan ni. Mereka yang nak berkhemah terus pacak sahaja khemah. Sekarang ni memang tak ada masalah. Tapi kita tak tahu lima tahun akan datang macam mana perkembangannya,” ujarnya.

Kerana itu, katanya infrastruktur yang diperlukan oleh aktiviti berkhemah ini mesti dipertingkatkan dan perlu ada sistem pengurusan yang berkesan agar aktiviti ini dapat berkembang dengan baik pada masa akan datang.

Zafrul

Seorang lagi rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai A.Z, 29 tahun pula berkata sekarang ini pembangunan hotel baharu juga semakin berkurangan di Port Dickson.

Tambahnya, pengurusan sampah terutama di kawasan pantai juga dilihat sedikit lemah sehingga menyebabkan ada masa-masanya sampah melimpah kerana ketiadaan tong sampah besar.

“Macam kita tengok di Pantai Bagan Pinang ini, tong sampah besar rasanya dah beberapa bulan tak ada. Yang sedia ada dah rosak. Jadi bila sampah dah banyak memang nampak tak cantik.

“Selain itu juga saya lihat di gelanggang-gelanggang sukan rakyat dan futsal juga tiada tong sampah. Bila orang guna gelanggang futsal ni sampah tak ada tempat nak buang,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar sebuah rumah sampah dibina di Pantai Bagan Pinang bagi pengurusan sampah yang lebih baik di Pantai Bagan Pinang ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -