Kelantan mohon peruntukan geran bukan pinjaman

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap peruntukan projek menukar paip usang dan membina Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan yang diberi Persekutuan dalam bentuk geran, bukannya pinjaman.

- Advertisement -

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, ada dua projek yang diberi peruntukan dalam bentuk pinjaman.

Katanya dua projek terbabit iaitu pengantian paip lama sepanjang 1,090 kilometer dan pembinaan Loji Rawatan Air di Machang yang melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.

“Pengantian paip lama membabitkan zon Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Kota Bharu Selatan serta Tumpat. Projek penukaran paip 1,090 km kos kira-kira RM400juta, manakala LRA Machang RM600 juta.

“Kalau campur kedua-dua projek terbabit memerlukan lebih kurang RM1 bilion,” katanya selepas majlis penyerahan empat lori tangki air oleh Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd di LRA Kampung Puteh hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Pengarah Jualan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd, Law Ah Tiong.

Azami berkata, projek tersebut dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air untuk kemudahan kira-kira 1.9 juta rakyat Kelantan.

“Jadi kita harap supaya kerajaan Persekutuan membuat pertimbangan permohonan peruntukan yang diberi dalam bentuk geran dan bukan pinjaman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -