
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempunyai 13 lori tangki bagi menghantar bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan yang terjejas.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, AKSB merancang mempunyai sebuah lori tangki air di setiap jajahan.
Malah katanya agihan air terawat kepada penduduk yang terjejas turut dibantu 37 Lori Air Kontrak (LAK) yang disewa khas AKSB sejak beberapa tahun lalu.
“AKSB Kelantan ada 12 jajahan pentadbiran, namun 13 lori tangki yang ada sebenarnya masih belum cukup untuk memenuhi keperluan bekalan air di setiap jajahan apabila berlaku gangguan bekalan air.
“InsyaAllah dalam jangka masa panjang kita akan tambah lagi lori terbabit supaya setiap jajahan mempunyai lori tangki air milik AKSB yang mencukupi.
“AKSB juga menggunakan khidmat lori khas yang disewa bagi menghantar bekalan air ke lokasi yang terjejas,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan empat lori tangki oleh syarikat Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd di Loji Rawatan Air Kampung Puteh dekat sini hari ini.
Difahamkan kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.4 juta bagi membeli empat lori tangki yang mampu membawa sebanyak 9,000 liter air pada satu-satu masa.
Hadir sama pada majlis penyerahan lori jenis UD Truck itu ialah Pengurus Besar AKSB, Dr. Nazmi Ghazali Azmi dan Pengarah Jualan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd, Law Ah Tiong. – HARAKAHDAILY 22/6/2023











