Lagu loghat Kelantan dialun lirik nasihat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Syamer AF atau nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly melahirkan keterujaan apabila dapat bertemu peminat pelbagai peringkat usia di Kelantan.

- Advertisement -

Katanya sebelum ini beliau hanya membuat persembahan pada majlis tertutup di beberapa hotel, namun program anjuran kerajaan Kelantan memberi ruang beliau bertemu peminat.

“Sejak Syamer mula aktif dalam bidang nyanyian bermula Akademi Fantasia 2015, Syamer datang ke Kelantan hampir setiap tahun.

“Namun, persembahan Syamer biasanya secara tertutup dan bukan terbuka seperti ini,” ujarnya ketika ditemui pada program Malam Seni Anok Mudo Kelate malam tadi.

Oleh itu beliau mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Urusetia Belia, Sukan dan NGO kerana sudi mengundangnya.

Menurutnya beliau cukup teruja dapat lepaskan rindu kepada rakyat Kelantan, sebab sudah lama tidak bersama orang ramai pada majlis terbuka.

Selain Syamer, 10 lagi artis tempatan yang menyanyikan lagu-lagu dikir antaranya Imie Sukma Sari, Man Khan, Poyie Gasi, Aris Kapila, Hazwan dan Bob Kala Jengking.

Beliau turut mengakui, antara perkara yang menarik di Kelantan makanan cukup menarik dan sedap.

“Alhamdulillah Syamer boleh makan makanan Kelantan dan setiap kali datang sini mesti pergi ke tempat-tempat menarik dan sedap,” ujarnya.

Beliau menyampaikan dua lagu, ‘Hidup Dalam Mati’ dan sebuah lagu baru ‘Bahagia Milik Kita’.

Program berkenaan dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat yang turut dihadiri timbalannya Zuraidin Abdullah.

Sementara itu Wan Roslan ketika merasmikan program terbabit berkata, jadikan loghat Kelantan sebagai bahasa peringkat kebangsaan bukan hanya ketika berada di negeri itu sahaja.

Menurutnya ketika berurusan dengan pegawai di kementerian sebelum ini beliau sering menggunakan loghat Kelantan memandangkan sebahagian mereka berasal dari Kelantan.

“Melalui dikir barat, persembahan seni lagu-lagu loghat Kelantan yang dinyanyikan anak muda sewajarnya ditonjolkan ke peringkat nasional untuk menggambarkan negeri ini yang penuh berbudaya.

“Lagu-lagu loghat Kelantan dialunkan dengan lirik nasihat, memuji ciptaan Ilahi, menceritakan keindahan alam di Kelantan termasuk makanannya yang enak dan berbagai lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2023

- Advertisement -