
KOTA BHARU: Kelantan merekodkan enam kes berkaitan kesihatan berpunca cuaca panas pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, daripada jumlah itu satu kes membabitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang disahkan akibat strok haba.
Katanya enam kes berkenaan menyebabkan mangsa terkena strok haba, kelesuan dan kejang haba.
“Lima mangsa yang mempunyai masalah kesihatan akibat cuaca panas masing-masing mendapatkan rawatan di hospital dan telah kembali sembuh.
“Bagi kes terbaru yang membabitkan kelesuan haba, ia membabitkan wanita berusia 34 tahun juga mendapat rawatan di hospital,” katanya pada sidang media di pejabatnya di MABNA MBI hari ini.
Dr Izani juga berkata, Kelantan mencatat kes membabitkan masalah kesihatan akibat daripada cuaca panas paling tinggi berbanding Sarawak lima kes dan Sabah (3).
Perkara itu berlaku, menurut beliau memandangkan suhu di Kelantan pada masa ini berada di tahap berjaga-jaga iaitu antara 35 hingga 38 darjah Celsius.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati memandangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba.
Beliau juga berkata, kumpulan yang berisiko menjadi mangsa cuaca panas mereka yang terbabit dengan kegiatan fizikal di luar termasuk buruh, tentera dan polis.
“Begitu juga dengan golongan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, penghidap penyakit sistem pernafasan, penghidap penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kelenjar tiroid.
“Keadaan yang teruk boleh menyebabkan mereka mengalami dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan koma,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2023











