Kemarau: Tiada laporan pesawah di Terengganu terjejas

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Aktiviti pertanian di Terengganu terutama padi tidak mengalami masalah bekalan air walaupun ketika ini mengalami musim kemarau.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia  berikutan usaha kerajaan negeri secara intensif menaik taraf sistem pengairan dan saliran, lapor portal TRDI.my.

“Buat masa ini, tiada sebarang masalah dihadapi, malah kita tidak mempunyai sebarang laporan mengenai pesawah terjejas kerana musim kemarau sebab kita mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi.

“Kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya bagi memastikan bekalan air mencukupi walaupun berdepan keadaan kemarau yang panjang,” katanya, di sini semalam.

Menurutnya, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di negeri ini ialah 12,542 hektar di mana 5,323 hektar adalah kawasan dalam jelapang, sementara 7,221 hektar bagi kawasan luar jelapang.

Tambahnya lagi, kebanyakan sumber bekalan air bagi sawah padi berpunca daripada takungan empangan yang berpunca daripada aliran sungai dan bukan aliran semula jadi yang mudah terkesan dengan perubahan iklim terutamanya kemarau.

- Advertisement -