Kak Lah bina 30 telaga tiub bantu penduduk

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air akibat musim kemarau, Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff sehingga sekarang membina sebanyak 30 telaga tiub.

- Advertisement -

Katanya, telaga tiub itu dibina di beberapa kawasan yang mengalami masalah bekalan air di kawasan Parlimen Rantau Panjang.

Menurut beliau jumlah telaga tiub itu dibina semenjak beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen untuk membantu penduduk kampung yang mengalami masalah air.

“Setiap telaga tiub yang dibina menelan kos kira-kira RM30,000. Kos tersebut termasuk menyediakan paip dan pam untuk menyalur air ke tangki-tangki di kawasan perumahan.

“Sebanyak 14 telaga tiub siap dibina beberapa tahun kebelakangan ini dan dalam beberapa lagi dalam proses pembinaan sekarang,” katanya di sini.

Antara telaga tiub yang baharu dibina iaitu di Taman Perumahan Rantau Mas, Kampung Luar, Kampung Bakat, Kampung Gual Nibong, Kampung Kubang Kual dan Kampung Kok Kiek.

Siti Zailah juga berkata, air dari telaga berkenaan disalurkan terus ke rumah penduduk di taman perumahan berdekatan.

Kata beliau telaga berkenaan mampu mengepam air selama 24 jam sehari.

“Alhamdulillah semoga Allah bantu kita bagi mendapatkan sumber air dari telaga tiub dan dijangka beberapa lagi telaga tiub baharu dapat beroperasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2023

- Advertisement -