
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, perlu dikenakan tindakan lebih keras kerana kelakuannya ketika perlawanan menentang Tottenham Hostpur, Ahad lalu.
Pengulas bola sepak, Chris Sutton, berkata Klopp hanya dilayangkan kad kuning kerana berlari ke arah pegawai keempat dan meraikan kemenangan Liverpool pada minit ke-94 dalam kemenangan 4-3 di Anfield.
“Berdasarkan cara dia bertindak di tepi garisan, dia patut diharamkan dari kawasan teknikal,” kata Sutton.
“Saya rasa denda tidak mencukupi. Dia telah mendapat hukuman begitu sebelum ini.”
Bos Liverpool itu yang mencederakan dirinya sendiri ketika berlari ke arah pegawai keempat, John Brooks, kemudian mendakwa cara pengadil, Paul Tierney, bercakap dengannya apabila dia dihukum sebagai “tidak OK”.
Bagaimanapun PGMOL, organisasi yang mewakili pengadil Liga Perdana Inggeris menyangkal dakwaan Klopp bahawa tindakan Tierney adalah tidak wajar.
Bercakap dalam siaran langsung program Radio 5 BBC, Sutton menambah: “Ia adalah masalah besar. Akan ada jurulatih dan kanak-kanak menonton dan berfikir adalah OK untuk berlari ke arah dan mengganggu pegawai perlawanan.
“Setahu saya, Klopp sepatutnya digantung. Dia tahu apa yang dia lakukan adalah salah.”
Ketua Eksekutif Ref Support UK, Martin Cassidy, juga mengulangi gesaan Sutton supaya Klopp menerima tindakan lebih keras. – BBC FOOTBALL











