
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyegerakan pelaksanaan ‘kadar gaji kehidupan wajar’ di negara ini untuk memastikan kadar tersebut mencukupi bagi menjalani kehidupan berkualiti.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu tersebut.
Katanya, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup amat berbeza berbanding tiga tahun lalu ketika negara berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan kadar gaji kehidupan wajar di negara ini sebagaimana disyorkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.
“Ia bagi memastikan pembayaran gaji dan upah yang diterima oleh pekerja awam dan swasta mencukupi bagi menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya pada kenyataan.
Beliau juga berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dilihat sebagai model yang mampu mengimbangi kesusahan rakyat ketika kenaikan harga barangan.
“Ketika itu, pelaksanaan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Penjana sedikit sebanyak mengimbangi kesusahan hidup rakyat khususnya golongan pekerja.
“Antaranya seperti Program Subsidi Upah sebagai contoh telah membantu begitu ramai majikan dan pekerja untuk terus bernafas dan kawal kadar pengangguran daripada terus meningkat,” katanya.
Menurutnya juga sambutan 1 Mei yang dianggap sebagai hari istimewa bagi golongan pekerja, namun tahun ini hari terbabit dianggap lebih mencabar berbanding tahun lalu.
Beliau menjelaskan lagi kenaikan harga barang dan kos sara hidup amat berbeza berbanding tiga tahun lalu ketika negara sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/5/2023











