
BUKIT Aman di tengah bandaraya Kuala Lumpur menempatkan Ibu Pejabat Polis Di Raja Malaysia PDRM. Kesemua pegawai atasan terkanan kepolisian Malaysia berpejabat di sini bermula Ketua Polis Negara.
Sejarah merakamkan bahawa nama asal Bukit Aman adalah Bluff Road Hill.
Ia buat pertama kali menjadi penempatan buat Pasukan Polis Selangor bawah British dikepalai Kapten HC Syers (orang yang sama membantu British menjejaki Mat Kilau di Pahang) setelah dipindahkan dari Klang pada tahun 1882.
Pada tahun 1896 ia menjadi Ibu Pejabat Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Syers sebagai Ketua Polisnya yang pertama.
Selepas Perang Dunia Kedua dan sekembalinya penjajah British Bluff Road Hill terus digunakan sebagai Ibu Pejabat Polis Persekutuan Tanah Melayu, kemudiannya Malaya dan kini Malaysia.
Bagaimana Bluff Road Hill berubah nama ke Bukit Aman?
Mengikut laporan Sinar Harian Khamis 27 April 2023, Persidangan Pengarah-pengarah PDRM pada tahun 1972 yang dipengerusikan Ketua Polis Negara Tun Mohamed Salleh Ismael ketika itu telah membincangkan cadangan untuk menukar nama warisan penjajah Bluff Road Hill kepada nama yang lebih sesuai.
Seorang pegawai berpangkat Superintendent yang hadir dalam persidangan itu sebagai SUPM atau Setiausaha Polis Malaysia telah mencadangkan nama BUKIT AMAN dan telah dipersetujui mesyuarat.
Pada 25 Mac 1975 (kira-kira 3 tahun selepas itu) Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohd Hanif Omar secara rasminya mengisytiharkan nama baru Bluff Road Hill ke Bukit Aman.
Sejak itu hapuslah warisan penjajah dan diangkat nama baru yang lebih mencerminkan identiti kebangsaan iaitu Bukit Aman.
Siapakah pegawai yang mencadangkan nama itu kira-kira 51 tahun dahulu?
Beliau adalah abah saya Datuk Haji Mohd Shahir Bin Abd Majid, 93 tahun yang masih dikurniakan kesihatan oleh Allah S.W.T untuk menyampaikan maklumat sejarah ini pada kita hari ini. Terima kasih Abah.
(Moga Bukit Aman mengesahkan dan mengemaskini sejarahnya)
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 28/4/2023











