
“ADAT bersendikan syarak. Syarak bersendikan Kitabullah… Syarak mengata, adat memakai..”
(Buya Hamka)
Alhamdulillah, raya Ini berjaya juga ragakan 4 bentuk hiasan kepala yang menjadi identiti Melayu. Ingat senang ke nak bergaya pelik-pelik depan orang ni. Ada gelar saya tok deko, ada usik nak pergi akad nikah, macam YB dan lain-lain.
Saya pakai ini semua untuk educate orang kita. Biar kenal asal-usul. Kembalikan identiti Melayu jangan sampai lupa diri ditelan arus modenisasi, arabisasi dan globalisasi.
Orang Melayu sejak kedatangan Islam lagi sudah memakai hiasan kepala. Bila Islam datang membawa sunnah tutup kepala, mudah orang Melayu menerimanya.
Islam datang tak hapuskan budaya, malah memurnikan budaya.
Islam datang tak mewajibkan budaya Arab. Sunnah Nabi tak bercanggah dengan Sunnah Alam yang memiliki diversiti bangsa yang memiliki identiti tersendiri.
Mari saya perkenalkan 4 Destar Alam Melayu yang sempat diragakan sepanjang Syawal ini:
1. Semutar.
Kain lepas yang diikat di kepala. Banyak digunakan di Pantai Timur termasuk Selatan Thai. Menyerupai serban Arab tapi tanpa kopiah di tengah. Biasanya menjadi pakaian pelaut, petani dan buruh.
Bila Islam sampai, ia menjadi pakaian agamawan dan pendekar seperti Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Kenali dan sebagainya mengambil sunnah serban atau lilitan kepala.
Sesetengah ikatannya sesuai dibuat solat kerana menutup atas kepala. Menepati sunnah menutup kepala semasa solat.
Destar paling multifunction. Boleh menjadi senjata, pelindung cuaca, angkut barang, tuala, kain basahan, alas makan dan macam-macam.
Maka, saya peragakan Semutar untuk memimpin Solat dan Khutbah Aidilfitri.
2. Getam.
Getam bermaksud tudung bekas. Terkenal sebagai pakaian diraja Kelantan, dikenali Getam Budu. Juga dipakai dalam perguruan Silat. Getam Kedah diadaptasi dari pakaian Jawa Blankon.
Getam adalah destar yang dijahit menyerupai kopiah. Gabungan Semutar, tengkolok dan songkok. Ibarat Semutar yang dibentuk seperti songkok. Menutup penuh atas kepala.
Paling sesuai dibuat solat kerana tidak memiliki juntai yang menyukarkan posisi sujud.
Getam Budu paling popular. Digubah menyerupai jambangan Bunga Raya di atas dahi. Sehingga kini menjadi busana rasmi Sultan Kelantan.
Maka, saya peragakan Getam Kreasi karangan tukang solek dari Kelantan pada Raya Pertama selepas Solat Aidilfitri.
3. Songkok.
Umpama pakaian korporat diraja dan bangsawan untuk urusan luar. Diadaptasi dari Fez atau Tarbus Turki.
Boleh dipakai dengan sebarang pakaian lain termasuk pakaian Barat. Sesuai untuk urusan rasmi pegawai. Ringan, tahan lasak, mudah dibawa ke mana-mana.
Maka, saya peragakan pada rumah terbuka 2 Syawal sebagai penyambut tetamu dengan kemeja Barat.
4. Tanjak
Boleh dikatakan inilah pakaian paling ‘Melayu’ kerana tidak dipengaruhi budaya lain. Tanjak adalah singkatan TANah yang dipiJAK. Menjadi pakaian hampir semua sultan Melayu dengan berbagai reka bentuk.
Digubah dengan jahitan kekal mengelilingi kepala dan berjuntai. Boleh dilaras mengikut saiz kepala. Menjadi pakaian istiadat di hampir semua istana Alam Melayu.
Maka, saya pakai pada 3 Syawal, memenuhi undangan rumah terbuka.
Banyak lagi variasi destar seperti Tengkolok, Justar, Kelubung dan Mahkota. Tapi rasanya 4 inilah yang sesuai dengan saya sebagai jejaka Melayu marhaen.
Hari Raya inilah peluang kita hidupkan kembali budaya bersendi syarak identiti bangsa kita. Biar kita bangga jadi sebahagian masyarakat dunia. Inilah cara untuk manusia lain saling mengenali antara satu sama lain. LeTaarafu bak firman Allah S.W.T Surah Hujurat Ayat 13.
Terima kasih Prof. Dr. Supyanbangi Hussin yang gigih membangkitkan kesedaran untuk orang Melayu kenal identiti mereka. Guru yang sangat saya hormati. Bekas Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM dan juga penyelia tesis saya.
Siapa masih belum memiliki destar, masih sempat cari. Raya kan sebulan. Kalau tak tahu nak beli mana, boleh personal message saya. Nak tahu cara ikat, Youtube pun banyak.
Jangan biarkan momentum Mat Kilau ditenggelami Mentega Terbang!
Rujukan:
[1] Destar Alam Melayu; Asal Usul, Sejarah dan Penggunaan – Johan Iskandar.
[2] Pakai Patut Melayu – Mohd Said Sulaiman.
[3] The Malay States – Philip C.Coote.
ALANG IBN SHUKRIMUN
4 Syawal 1444
25 April 2023 – HARAKAHDAILY 25/4/2023














