
BACHOK: Jalan kampung yang sempit menjadi pilihan pengguna jalan raya bagi mengatasi kesesakan lalu lintas pada musim perayaan sekarang.
Antara jalan yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya, termasuk jalan di Kampung Bato, Gunung, Jelawat dekat sini yang menjadi laluan popular biar pun sempit.
Jalan selorong tersebut menjadi pilihan pemandu bagi mengelakkan kesesakan teruk di laluan Kampung Gunung-Jelawat-Tok Bali.
Seorang penduduk tempatan, Saifuddin Hamzah, 63, berkata jalan kampung tersebut menjadi alternatif pengguna jalan raya bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama.
Bagaimanapun, katanya jalan selorong tersebut menjadi sesak apabila deretan kenderaan berselisih di jalan yang sempit.
“Jalan Kampung Bato menjadi pilihan bagi pengguna jalan raya yang mahu ke Bandar Baru Jelawat dari Peringat dan sebaliknya. Jalan ini popular pada musim perayaan sejak dua tiga tahun ini.
“Deretan kenderaan bertali arus sehingga penduduk tempatan sukar untuk meletak kenderaan di tepi jalan bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.
“Biarpun jalan ini sempit, ia tetap menjadi pilihan pengguna jalan raya bagi mengelakkan mereka terperangkap lebih lama di laluan utama Gunung-Jelawat,” katanya ketika ditemui di sini.
Kesesakan juga berlaku di Jalan Pauh Lima ke Pasir Tumboh apabila deretan kenderaan boleh dilihat sejauh lebih lima kilometer.
Di Kota Bharu, kesesakan juga dikesan berlaku di Jalan Wakaf Che Yeh, Pasir Hor, Jalan Kota Darulnaim dan simpang tiga Lebuh Raya Kota Bharu-Ketereh di Pasir Hor dengan kesesakan sejauh hampir satu kilometer. – HARAKAHDAILY 24/4/2023











