
Maghribi yang mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 dan menewaskan Brazil bulan lalu, perlu fokus untuk memenangi Piala Negara-Negara Afrika tahun depan sebelum mengimpikan kegemilangan di Piala Dunia 2026.
Pemain sayap, Sofiane Boufal berkata, Maghribi adalah kisah mengejutkan di Piala Dunia Qatar, menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal dalam perjalanan ke separuh akhir hingga mendorong jurulatih, Walid Regragui, menyatakan hasratnya untuk memenangi edisi 2026.
Impian itu menjadi lebih besar selepas kemenangan 2-1 ke atas juara dunia lima kali, Brazil dalam perlawanan persahabatan di Tangier bulan lalu.
Sehingga kini, hanya pasukan Eropah dan Amerika Selatan berjaya memenangi Piala Dunia.
“Kami mesti menetapkan keutamaan kami. Pertama, kami mesti memenangi Piala Negara-Negara Afrika. Kami tahu betul bahawa ia adalah pertandingan yang sukar dan rumit. Kemudian, kami akan mempunyai banyak masa untuk memikirkan Piala Dunia,” kata Boufal.
Maghribi menjadi pasukan pertama layak ke Piala Negara-Negara Afrika yang akan diadakan di Ivory Coast, awal tahun depan, dan berusaha memadamkan kenangan buruk dalam kejohanan itu dengan kemenangan pertama dan terakhir dicapai pada 1976.
“Piala Negara-Negara Afrika berbeza dengan Piala Dunia. Keadaan tidak memihak kepada kami pada masa lalu, jadi kami mesti mempunyai mentaliti yang lebih kuat.
“Dalam Piala Dunia, semua hebat dari segi latihan dan stadium. Keadaan sangat berbeza di Afrika. Kami mesti realistik dan bersedia dengan baik untuk kejohanan itu yang tidak akan mudah sama sekali,” kata pemain berusia 29 tahun yang bermain untuk kelab Qatar, Al-Rayyan.
Boufal menjaringkan gol kemenangan ke atas Brazil dan berkata, pasukan itu masih mempamerkan prestasi terbaik hasil penyertaan dalam Piala Dunia Qatar.
“Rahsia kecemerlangan kami yang berterusan ialah meneruskan apa yang kami lakukan dalam Piala Dunia. Kami mempunyai pertahanan yang kuat, serangan yang teratur, pemain berbakat dan boleh membuat perubahan pada bila-bila masa,” katanya.
“Perlawanan dengan Brazil adalah perayaan untuk kami menerima pasukan nombor satu dalam ranking FIFA (ketika itu) dan ia menakjubkan untuk menjaringkan gol menentang mereka dalam suasana yang hebat di laman sendiri. Kini kami tidak boleh berehat dan meneruskan rentak yang sama untuk kembali ke Maghribi dengan gelaran Piala Negara-Negara Afrika.”
Dalam ranking dunia FIFA terkini, Brazil jatuh ke tempat ketiga di belakang Argentina dan Perancis, manakala Maghribi berada di kedudukan ke-11. – REUTERS











