Klopp puji aksi Liverpool belasah Leeds 6-1

- Advertisement -

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, menyifatkan kemenangan besar Liverpool terhadap Leeds United di Elland Road, semalam adalah prestasi terbaik pasukan itu musim ini dan tidak menolak menjadi pendorong merebut empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris yang semakin menemui penghujung.

Kemenangan 6-1 adalah yang pertama Liverpool dalam enam perlawanan semua pertandingan sejak menewaskan Manchester United 7-0 pada awal Mac lalu.

- Advertisement -

“Saya fikir ini adalah perlawanan terbaik yang kami hadapi musim ini dari semua perspektif berbeza. Kami memaksa lawan melakukan kesilapan, gol sensasi dan serangan balas, permainan terbaik untuk suatu tempoh yang lama.

“Terdapat beberapa detik sukar, kami melepaskan gol yang tidak perlu, tetapi perkara ini berlaku. Selain itu, kami mengawal tempo permainan,” kata Klopp.

Liverpool juga menewaskan Bournemouth 9-0 dalam Liga Perdana dan Rangers 7-1 dalam Liga Juara-Juara musim ini, tetapi Klopp memberitahu akan sentiasa menilai pemainnya berdasarkan prestasi, berbanding jumlah gol yang mereka jaringkan.

“Saya tidak peduli mereka menjaringkan enam gol, ini adalah soal prestasi. Mentaliti untuk menang.

“Kami boleh berorientasikan serangan yang hebat jika bertindak balas pada saat yang tepat. Saya tidak dapat menjelaskan mengapa serangan balas kami tidak berjaya (awal musim ini), tetapi malam ini ia menjadi.

“Saya tidak pasti berapa banyak gol yang kami jaringkan selepas memenangi bola kembali – ini yang menjadikan semua perbezaan,” katanya.

Liverpool berada sembilan mata di belakang Newcastle United yang berada di tempat keempat kelayakan Liga Juara-Juara dan Klopp berkata, apa yang mereka boleh lakukan ialah terus menang dalam baki lapan perlawanan dan pada masa sama, berharap ada pasukan di atas mereka tergelincir.

“Mereka boleh memenangi semua perlawanan mereka dan kami memenangi semua perlawanan kami dan tidak ada peluang untuk mengubah apa-apa.

“Kami perlu bermain bola sepak yang sangat bagus. Jika kami melakukannya, kami akan mendapat keputusan dan kemudian kami melihat di mana kami berada di kedudukan liga,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -