DHPP Kedah sokong Sanusi ‘poster boy’ PRN

K Kumaresan
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah sebulat suara menyokong Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai ‘poster boy’ Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

- Advertisement -

Ketuanya, K Kumaresan berkata, keputusan itu merupakan ketetapan yang diambil pada mesyuarat dewan yang diadakan semalam.

“DHPP juga berjanji serta bertekad akan mempertahankan kemenangan PERIKATAN NASONAL (PN) pada PRN akan datang serta mempastikan pengundi bukan Melayu di Kedah turut memilih calon-calon PN,” maklumnya di sini, hari ini.

Kumaresan berkata, Kedah di bawah pentadbiran Sanusi membangun serta melaksanakan program kebajikan tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

“Beliau telah banyak membawa perubahan di Kedah sama ada  dari segi pentadbiran, kebajikan serta berjaya membawa pelaburan yang tinggi ke negeri ini,”  tambah beliau.

Malah, sepanjang tempoh PN mentadbir negeri, isu rakyat seperti masalah bekalan air bersih diambil tindakan sewajar untuk menyelesaikannya.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar (Hal-Ehwal Masyarakat India) turut merasa kagum kerana dalam tempoh tiga tahun ini, masalah geran dan hak milik tanah dapat diselesaikan.

“Saya mewakili masyarakat India juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada MB Kedah kerana berjaya menyelesaikan masalah berkaitan kuil dan rumah ibadat kaum lain,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan impian rakyat Kedah untuk melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis berjaya dibangunkan dan menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 17/4/2023

- Advertisement -