MPKB-BRI bina landskap bersepadu bernilai RM48 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan membina landskap bersepadu yang bernilai RM48 juta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Hilmi Abdullah berkata, projek itu akan dilaksanakan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

- Advertisement -

“Ia akan bermula dari Bulatan Medan Tuan Padang sehingga Tambatan D’Raja yang dibahagikan kepada enam zon landskap utama, iaitu zon diraja, budaya, institusi, sukan, perniagaan dan tebing sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sesi penyertaan awam bagi cadangan pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu (LPKB) di ruang legar sebuah pasar raya di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI Rosnazli Amin dan wakil Jabatan Lanskap Negara.

Hilmi berkata, pembinaan landskap dalam radius 1.5 kilometer persegi itu dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung untuk melancong ke Bandar Kota Bharu.

Katanya, ia bakal tampil dengan imej baharu mesra pelancong.

“Ini pasti akan meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat selain membantu merancakkan sektor pelancongan domestik Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2023

- Advertisement -