
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan hanya meluluskan permohonan cuti anggotanya sebanyak 20 peratus sempena Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, cuti tersebut hanya diberikan kepada sebahagian anggota anak tempatan bagi membolehkan mereka kembali bertugas dengan segera jika berlaku sesuatu kecemasan.
“Anggota berkenaan akan bertugas untuk Aidilfitri bermula 18 hingga 27 April ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kuih raya sumbangan kerajaan negeri kepada petugas keselamatan di Kota Darulnaim, hari ini.
Sumbangan kuih raya tersebut disampaikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Zainal juga berkata, musim panas yang agak luar biasa akan mudah berlaku kebakaran khususnya di tanah-tanah lapang yang terdapat rumput kering.
“Kebakaran mudah berlaku apabila keadaan terlalu panas, bukan hanya kerana dibakar, tetapi terbakar sendiri akibat kepanasan.
“Dengan keadaan sekarang kebakaran mudah berlaku di kawasan pantai seperti di Bachok, Tok Bali di Pasir Puteh,” ujarnya.
Kata beliau, Bachok antara kawasan yang mudah terbakar kerana terdapat kawasan lapang, berpasir, rumput kering dan tanah gambut yang boleh melibatkan kebakaran hutan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran sampah secara terbuka kerana dibimbangi akan merebak apabila ditiup angin. – HARAKAHDAILY 13/4/2023











