
PEMIMPIN bekerja untuk meluruskan perjalanan rakyat agar selari dengan peraturan. Peraturan disusun dan dilaksanakan untuk menjaga kepentingan semua. Rakyat kita pula ada segelintir yang suka langgar undang-undang dan peraturan. Bila ditahan dan dikenakan tindakan, ketika itulah baru mereka cari Exco. Ambe terpaksa bertegas walaupun akhirnya kita tak disukai dan dianggap payoh bbaso.
Banyak contoh yang biasa berlaku:
1. Tanah dalam kawasan jelapang padi utama Terengganu ditambun tanpa kebenaran untuk dipecahkan kepada lot-lot rumah. Bila tak lepas nak tukar syarat dia mari haru dengan kita. Minta tolong lagu mana pun nak suruh lulus juga! Duit dah ambil dengan pembeli. Masa nak tambun tak ada pula tanya boleh atau tidak. Macam mana awak boleh jual lot-lot tanah yang belum ditukar syarat dan dipecahkan lot? Ambe pula diamanahkan untuk jaga periuk nasi rakyat.
2. Kawasan Taman Laut semua nelayan tahu, ia adalah kawasan larangan menangkap ikan. Itu adalah kawasan perlindungan untuk pembiakan ikan. Kita perlu reserve kawasan pembiakan ikan demi menjaga sumber hasil laut untuk kepentingan nelayan juga, bukan untuk orang lain. Kawasan Taman Laut inilah juga yang dia pergi memukat ikan. Bila kena tahan dengan Perikanan, jumpa pula cari nombor telefon kita, bertalu-talu telefon minta tolong lepas.
3. Tahun 2023 Kerajaan Negeri Terengganu tanggung semua kos nelayan zon A untuk memperbaharui lesen sampan nelayan. Maknanya boleh sambung lesen free saja. Tapi masih ada lagi nelayan yang kena tahan sebab lesen tamat tempoh. Dengan kita juga dia minta tolong lepaskan. Ambe pun tak tahu nak tolong lagu mana doh.
4. Tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang disediakan kerajaan negeri untuk diusahakan rakyat dengan sewa hanya RM150 sehektar setiap tahun. Sangat murah dan sangat membantu rakyat. Tapi ada yang dapat tanah hanya tanam lalang dan semak-samun. Diberi surat peringatan pun tak diendah. Bila ditamatkan, pagi-pagi lagi dah tunggu depan pejabat nak minta tolong supaya jangan ditamatkan.
5. Malah ada yang curi kayu dalam hutan simpan. Kena tahan dengan Jabatan Perhutanan, depan rumah kita juga congok dia tunggu nak suruh tolong wat kira.
6. Dalam syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tanah kerajaan sudah dinyatakan dengan jelas bahawa syaratnya adalah untuk tanaman kontan. Lulus saja LPS terus dia beli anak sawit. Bila LPS tak disambung sebab langgar syarat, rata-riti dia cari kita.
Inilah rakyat kita. Dikira dengan YB semua boleh lepas belaka.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 10/4/2023











