
BARU-baru ini heboh dengan isu lawatan ke rumah ibadat bukan-Islam. Bukan artikel ini untuk membahaskan isu tersebut tetapi saya mahu mengajak kita semua melihat peranan masjid yang sebenarnya di dalam masyarakat. Adakah memadai masjid itu dengan seni bina yang indah, jubin-jubin dengan corak yang menakjubkan atau permaidani yang sehingga tenggelam kaki apabila dipijak? Atau adakah lebih dari itu? Mungkin umat Islam belum cukup mendalami rumah ibadat mereka sendiri dan itu perlu diutamakan.
Masjid pertama di dalam Islam adalah Masjid Quba’. Ketika Rasulullah S.A.W dan para Sahabat berhijrah daripada Makkah ke Madinah, rombongan Baginda telah berhenti untuk berehat di sebuah tempat bernama Quba’ pada pada 8 Rabiul Awwal, tahun ke-14 pengutusan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi. Quba’ adalah sebuah perkampungan di pinggir kota Madinah, lebih kurang 10 km dari kota tersebut. Di situ masjid pertama di dalam Islam telah dibina.
Pembinaan masjid tersebut sebaik sahaja Rasulullah S.A.W menghampiri kota Madinah merupakan satu isyarat kepada kita semua bahawa umat Islam perlu mendahulukan hubungan dengan Allah S.W.T (Hablum Minallah) agar kehidupan kita dapat dibina di atas dasar yang kukuh. Keutamaan yang diberikan kepada mentaati Allah S.W.T akan mendorong agar hubungan sesama manusia adalah lebih teratur. Masjid diasaskan di atas dasar taqwa dan akan menjadi teras kepada umat Islam.
Jika kita menyingkap kembali sejarah kegemilangan Islam, masjid memainkan peranan yang amat penting. Masjid bukan sahaja tempat untuk solat berjemaah tetapi ia merupakan pusat aktiviti masyarakat. Di antara masjid yang boleh menjadi contoh adalah Masjid Suleymaniye di Istanbul yang dibina ketika pemerintahan Sultan Sulaiman (Suleyman the Magnificent atau Sulaiman Al-Qanuni) yang merupakan sultan Daulah Uthmaniyah (Ottoman Empire) dari 1520 hingga 1566. Masjid yang siap dibina dalam tahun 1557 direkabentuk oleh arkitek Diraja, Mimar Sinan.
Selain dari menjadi tempat solat berjemaah, di masjid tersebut terdapat juga hospital (Darusyifa), 4 madrasah untuk mempelajari al-Quran, tempat pengajian Hadis yang khusus, kolej perubatan, sekolah rendah, tempat mandi awam (Hamam), dapur untuk memasak makanan untuk orang-orang miskin (Imaret) dan tempat musafir untuk bermalam dan berehat (Caravanserai). Bukan sahaja di masjid ini tetapi di kebanyakan masjid di zaman kegemilangan Islam mempunyai fungsi yang dipelbagai.
Saya pernah terdengar seorang ahli kariah di sebuah masjid merungut tentang sikap segelintir penduduk tempatan, ‘Dia orang ini tidak datang ke masjid kecuali bila hendak kahwin atau bila ada kematian’. Tetapi saya hairan kenapa dia hanya menyalahkan mereka itu. Mengapa tidak dia menyalahkan pihak pengurusan masjid kerana gagal menarik kesemua ahli kariah. Sekiranya aktiviti atau fungsi masjid itu dipelbagai, sudah tentu tidak ada yang ketinggalan. Mungkin tidak sebanyak masjid di zaman Sultan Sulaiman Al-Qanuni tetapi ada banyak ruang dan peluang untuk masjid berperanan.
Di bulan Ramadan ini, masjid dan juga surau lebih penuh dari biasa dan mereka yang hadir berada lebih lama. Dengan pelbagai program yang disediakan dari majlis berbuka puasa kepada solat Tarawih, dari takzkirah kepada jamuan moreh, justeru Ramadhan merupakan peluang yang tidak seharusnya dilepaskan untuk mempromosi kepada ahli kariah agar terus datang ke masjid selepas bulan yang mulia ini berakhir. Walau bagaimanapun masjid dan surau perlu ada sesuatu untuk ditawarkan kepada ahli kariah. Ada pepatah Arab berbunyi, ‘Orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak boleh memberi‘. Tidak boleh sesuka hati melabel orang seperti, ‘Mereka jauh dari agama’. Kalau betul mereka berada jauh maka tugas kita untuk mendekatkan mereka bukan mengutuk dan menghina.
Ketika ini terdapat pelbagai tawaran dan promosi yang dilakukan oleh pusat-pusat membeli belah. Jika mereka boleh bertungkus lumus dan begitu kreatif dengan promosi mereka, kenapa tidak masjid dan surau? Tetapi mesti ada tarikan. Perlu berfikir di luar kotak. Perlu lebih kreatif untuk memikirkan program-program baharu dan bukan sahaja program-program yang tradisional bagi masjid dan surau. Mungkin bukan kuliah agama atau kursus haji sahaja tetapi kuliah kemahiran atau kursus motivasi agar masjid dan surau dapat menarik setiap lapisan masyarakat dan dari pelbagai peringkat umur. Perlu ada sesuatu untuk semua. Sama ada pendidikan, perniagaan, sukan, kebudayaan, seni dan banyak lagi dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak. Semasa di sekolah dahulu terdapat sebuah masjid yang mempunyai pasukan bolasepak yang dinamakan ‘Masjid Gang’. Alhamdulillah banyak masjid dan surau telah melaksanakannya semoga ia dapat dikembangkan. Semoga masjid dan surau terus penuh sesak sepanjang tahun. Tetapi saya menunggu mana-mana masjid menganjurkan kursus membaiki motosikal atau kursus membaiki telefon bimbit.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Dan Pembangunan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 5/4/2023











