
PADA hari ini sebahagian daripada kita terutamanya pejuang-pejuang Umno akan berterima kasih kepada para penyokong PH kerana telah menaburkan jasa dan bakti yang tersangat besar buat Umno.
Sehingga hari ini pemimpin Umno akan berterima kasih kepada pemimpin PH sekurang-kurangnya kerana 3 perkara.
1. Menyelamatkan parti Umno.
Jika dahulunya perjuangan reformasi adalah tercetus kerana melawan Umno, kini tidak lagi. Jika dahulunya mereka turun ke jalanan kerana melawan korupsi Umno khususnya dalam isu 1MDB, LCS, nepotisme, kronisme dan lain-lain namun kini tidak lagi.
PH yang dahulunya menjadi musuh nombor 1 Umno kini menjadi ‘tongkat nyawa’ nombor 1 kepada Umno.
Kerana jasa pemimpin PH, Umno terus menjadi sebuah parti yang diiktiraf meskipun telah melanggar Perlembagaan parti sendiri yang mana bertentangan dengan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh ROS.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR merangkap Menteri Dalam Negeri telah memberikan khidmat istimewa kepada Umno dengan memberikan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung tindakan Umno yang tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1073405/kdn-beri-pengecualian-lulus-usul-umno-tidak-pertanding-dua-jawatan
2. Menyelamatkan Presiden Umno yang mempunyai 47 pertuduhan kes.
Kerana jasa pimpinan PH kini Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai 47 pertuduhan mendapat layanan luar biasa dalam perbicaraan mahkamah.
Kehadiran Presiden Umno ke mahkamah selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia, orang nombor 2 terpenting dalam pentadbiran negara pastinya meletakkan pihak hakim yang bijaksana dan pihak pendakwa raya dalam keadaan yang sukar untuk melaksanakan perbicaraan tanpa ‘fear or favor’.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasport Antarabangsanya secara kekal.
Kata Hakim Mahkamah Tinggi, ‘Tiada mana-mana individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang. Oleh itu permohonan pemohon untuk mendapatkan pasportnya secara kekal adalah ditolak.’
Terbaru, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Zahid Hamidi mendapatkan pasport secara kekal.
Kata Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, ‘beliau mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan yang dikemukakan oleh Zahid Hamidi’.
Ajaib. Tahniah kepada penyokong-penyokong PH.
3. Menyelamatkan lantikan-lantikan politik Umno.
Sebelum ini kita dengar Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika di awal pentadbiran beliau telah menggagalkan cubaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Ahmad Zahimid untuk melantik Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi FELCRA.
Kata Anwar Ibrahim dalam isu pelantikan GLC ketika itu berkata, ‘mereka patut terikat dengan syarat-syarat khas dan mempunyai kelayakan yang sepatutnya dalam bidang yang relevan’.
https://www.getaran.my/artikel/semasa/37522/tidak-pernah-kata-tiada-lantikan-politik-dalam-glc-nantikannya-anwar
Kini satu persatu, pimpinan-pimpinan politik daripada Umno dilantik secara gelojohnya mengetuai GLC sebagai habuan kepada ‘sokongan’ yang diberikan kepada Presiden Umno.
Mereka inilah yang dahulunya menjadi buruan dalam kecaman, cacian serta cercaan dalam siri ceramah politik pemimpin-pemimpin PH namun kini disucikan atas alasan perkongsian kuasa prinsip perjuangan mereka dibakulsampahkan.
Terima kasih PH kerana selamatkan Umno. Kerana kalian, Umno parti tenat dan korup yang kalian lawan selama ini dapat terus mara ke hadapan melalui oksigen yang kalian bekalkan. Tahniah dan terima kasih pemimpin PH.
USTAZ ABD RAZIB ABD RAHIM
Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/4/2023











