Perjudi kesihatan rakyat kerja tidak beretika

50 peratus hasil duti eksais produk Nikotin untuk vape diberi kepada KKM

- Advertisement -

ENTAH kaedah apa yang diguna oleh Kerajaan PH-BN dalam merasionalkan pindaan pengecualian cecair dan gel Nikotin di bawah Akta Racun dengan keperluan cukai negara.

Sanggup sebuah kerajaan minoriti yang berdepan krisis dalaman yang teruk antara komponen gabungan menggadaikan kesihatan rakyat semata-mata untuk kepentingan golongan tertentu dalam kerajaan. Harapnya ia bukanlah melibatkan balas budi dan jasa.

Walau sejumlah peratusan yang melebihi 50 peratus sekalipun, memperjudikan kesihatan rakyat adalah kerja tidak beretika. Apa lagi melibatkan kuasa kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat.

Saya mohon para petugas kesihatan, agamawan, masyarakat awam yang pentingkan kesihatan tampil mengemukakan pandangan. Kerajaan hari ini jenisnya tidak boleh rakyat berdiam diri kerana bagi mereka diam adalah tanda setuju.

KKM tidak boleh jadi bomoh hantu, memelihara hantu dan menghantar hantu mengusik orang kampung, kemudian menjadi hero menghalau hantu. Ini kerja tidak bertamadun.

Jika Menteri Kesihatan mahu jadi Bok Miah dalam cerita Puaka Niang Rapik, izinkan kami menjadi Ustaz Amirul, boleh?

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -