KB Sentral dijangka siap pada 2026

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pembinaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) melibatkan sejumlah hampir RM64 juta akan mula dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, projek berkenaan telah dikenalpasti melibatkan seluas 2.02 hektar di Mukim Pendek di sini.

Katanya, terminal itu dibangunkan sebagai kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development – TOD) yang akan dilengkapi dengan terminal bas, kemudahan awam, pusat konvensyen.

“Selain itu juga turut  terdapat pelbagai kemudahan iaitu tempat letak kereta awam, hotel, ‘service apartment, lembah silikon mini, Direct Factory Outlet (DFO) dan stesen minyak, malah terminal KB Sentral ini juga terletak bersebelahan dengan tapak cadangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pembangunan projek ini akan dilaksanakan secara penswastaan. Ini bermakna segala kos tanah dan pembangunan projek ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju.

“Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn. Bhd. akan melaksanakan pembangunan dan pengoperasian KB Sentral,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan surat latihan pemaju projek pembangunan KB sentral.

Katanya, pembinaan itu juga memenuhi ciri-ciri islamik, mesra alam dan teknologi hijau serta mesra pejalan kaki dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri menaruh harapan dengan pembangunan KB Sentral ini untuk dijadikan sebagai hub sistem pengangkutan yang berkualiti kepada rakyat Kelantan.

“Pembangunan KB Sentral adalah seiring dengan pembinaan projek ECRL yang telah bermula pada tahun 2020 dan dijangka siap pada tahun 2027.

Kerajaan negeri juga amat menggalakkan peranan dan keterlibatan sektor swasta dalam rancangan pembangunan bandar baharu Tunjong terutama sektor perumahan dan perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2023

- Advertisement -