
SAYA ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tambun di atas pembentangan Belanjawan 2023 ini yang memulakan ucapannya dengan memetik kisah Nabi Yusuf bersama dengan Raja di zamannya yang disebut dalam teks Belanjawan sebagai Raja Al- Aziz. Saya suka untuk memberikan sedikit ulasan bahawa Al-Aziz itu merupakan gelarannya. Bukan namanya. Sebagai mana kita menyebut Firaun ataupun Al-Malik, itu merupakan gelaran-gelaran Raja dan namanya itu bukan Al-Aziz tetapi gelarannya.
Apa pun terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Tambun di atas ucapannya yang saya kira cukup baik pada permulaannya memetik kisah Nabi Yusuf. Cuma saya ingin meneruskan ucapan ini dengan beberapa persoalan yang penting Tuan Yang di- Pertua iaitu pertama, berhubung dengan perbelanjaan mengurus. Dalam Belanjawan 2023 kita dapati ia meningkat RM55.6 bilion berbanding peruntukan asal yang dibentangkan oleh pentadbiran Yang Berhormat Bera pada Oktober pada tahun lepas.
Bajet mengurus pada tahun lepas yang dibentangkan untuk tahun ini RM233.5 bilion. Bajet 2023 dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun ialah RM289.14 bilion. Berlaku peningkatan untuk bajet mengurus ini sedangkan kalau kita lihat ia berlaku di sebalik tindakan menghapuskan portfolio Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri. Maka sepatutnya ia berlaku penjimatan, yang agak menghairankan pentadbiran Yang Amat Berhormat Tambun dengan bangganya mengumumkan langkah-langkah penjimatan dengan mengurangkan perkhidmatan kepada rakyat.
Contohnya mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen dari RM38 juta kepada RM1.3 juta. Tiada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang. Jumlah anggota Kabinet lebih kecil dan tiadanya penasihat bertaraf Menteri. Tiada kenaikan gaji dan sebagainya.
Soalannya, kenapakah perbelanjaan mengurus ini semakin meningkat khususnya pada Jabatan Perdana Menteri? Tadi saya mendengar ucapan daripada Yang Berhormat Titiwangsa. Cukup bagus iaitu perbelanjaan ini haruslah dibentangkan secara transparent, secara telus di mana perbelanjaan pembangunan tidak boleh diselitkan di bawah perbelanjaan mengurus dengan semata-mata bertujuan untuk kita menambahkan hutang.
Akan tetapi pada pemahaman saya, konsep menarik perbelanjaan pembangunan kepada perbelanjaan mengurus ini sudah berlaku agak lama sebenarnya. Beberapa tahun yang lalu, bahkan ketika Kerajaan Barisan Nasional sebelum tahun 2018. Soalannya kalau boleh dijawab oleh pihak kerajaan berapa banyakkah perbelanjaan daripada mengurus pembangunan diselitkan di bawah perbelanjaan mengurus semata-mata untuk mencantikkan akaun kita, dalam istilah yang lain kita sebut sebagai creative accounting dengan izin.
Beberapa soalan ringkas yang perlu untuk saya lontarkan iaitu berhubung dengan pengeluaran KWSP. Saya mengharapkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengeluaran KWSP secara bersasar seperti dituntut oleh ramai pihak. Pemberian RM500 itu bagus tetapi ia tidak memberikan apa-apa impak kerana penerima RM500 hanya boleh menggunakan wang itu beberapa puluh tahun kemudian.
Saya juga ingin bertanya berhubung dengan keistimewaan kepada golongan OKU yang tidak disebut di dalam bajet. Bajet 2023 dibentangkan oleh Yang Berhormat Senator Tengku Zafrul memperincikan banyak, contohnya insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama kepada golongan OKU yang bekerja, Program Jamin Kerja dan kebajikan OKU yang banyak disebut di dalam slaid dan juga bajet yang dibentangkan tahun lepas. Tahun ini ia tidak disebut berkenaan dengan insentif-insentif kepada golongan OKU. Kalau boleh di dalam jawapan nanti saya mahu supaya jawapan terperinci apakah keistimewaan kepada golongan OKU yang diperincikan di dalam bajet ini? Berikutnya saya juga ingin menarik perhatian berhubung dengan perjawatan- perjawatan yang ada di peringkat kerajaan. Tadi ada Menteri Pendidikan, saya hendak lontarkan bagaimana berlaku isu perjawatan di peringkat guru-guru. Kalau guru-guru berada di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), bila mereka naik daripada Gred 48 naik ke Gred 52, ke Gred 54 sebagai contoh, mereka kena turun semula ke sekolah menjadi guru biasa.
Ini persoalan yang saya fikir agak penting untuk kita bincangkan kerana ia menjadi satu discredit kepada guru itu sendiri untuk berkhidmat kepada junior mereka di PPD atau JPN. Ini satu perkara yang agak terbalik. Saya fikir konsep perjawatan khususnya di JPN ini perlu untuk dikaji semula supaya ia lebih melihat daripada aspek seniority dan juga keselesaan untuk bekerja. Begitu juga jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Saya nampak Menteri Belia dan Sukan pun ada. Saya mohon dikaji perjawatan di Jabatan Belia dan Sukan di peringkat daerah. Saya ambil contoh, Parlimen saya Pasir Mas. Kami berkongsi Jabatan Belia dan Sukan yang sama dengan Rantau Panjang sedangkan kami merupakan Parlimen yang berlainan. Sudah tentu program yang agak berlainan. Akan tetapi beberapa orang itulah, tiga, empat orang itulah sahaja yang menguruskan program sukan dan sebagainya. Kalau boleh ini dapat diberikan perhatian oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai contoh. Begitu juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.
Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Digital pun ada sama, minta tolong supaya dapat dilihat aspek liputan Internet di kawasan saya di Pasir Mas. Yang Berhormat Menteri, kalau boleh saya sebut ramai rakyat saya yang lebih suka membeli sim card daripada Thailand untuk beroperasi di Malaysia kerana sangat-sangat teruk perkhidmatan internet khususnya di kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir seperti kawasan saya di Pasir Mas.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin meneruskan kepada beberapa persoalan yang berikutnya iaitu Yang Amat Berhormat Tambun menyebut berkenaan dengan isu-isu rasuah. Satu, kali pertamalah saya mendengar satu pembentangan bajet yang menceritakan terlebih dahulu situasi negara kita. Itu bagus sebenarnya bukan tidak bagus. Ia mengajak rakyat untuk melihat apakah situasi yang berlaku.
Akan tetapi saya perasan apabila disebut soal ketirisan, rasuah dan sebagainya tidak disebut perkataan 1MDB sebagai salah satu daripada kes rasuah ataupun kes isu kewangan yang paling besar dalam negara ini sedangkan pada sesi yang lepas, kawan-kawan kita daripada kerajaan yang juga dahulu menjadi pembangkang tidak putus-putus menyebut tentang 1MDB. Saya tidak tahulah 1MDB ini telah pun disapu di celah karpet yang mana. Ia tidak perlu disebut juga sebenarnya tetapi apabila menyebut tentang isu kewangan dan sebagainya, kenapa sekarang cuba hendak menyembunyikan 1MDB. Adakah menjaga hati rakan di sebelah?
Apabila Yang Berhormat Damansara menyebut berkenaan dengan indeks rasuah, di antara perkara-perkara yang saya fikir tidak akan membantu kepada mencantikkan indeks rasuah, transparency index selepas daripada ini ialah pelantikan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang masih lagi terlibat dalam kes salah guna kuasa. Ia sangat besar impaknya kepada isu-isu transparency dalam negara kita pada hari in. Betul yang disebut oleh Yang Berhormat Damansara tadi, saya setuju sangat. Isu LCS dan sebagainya yang disiasat oleh PAC pada penggal yang lepas.
Akan tetapi dengan pelantikan seorang yang masih ada dakwaan di mahkamah, sebagai seorang anggota eksekutif yang tertinggi, saya rasa tidak membantu kepada transparency index. Sedangkan kalau hendak dikiralah, kerajaan ada 148 orang Ahli Parlimen, kalaulah– saya sebut kalau, kalau ditarik 30 pun tidak terjejas kerajaan, kalau hendak kira pun. So, apa masalahnya hendak dilantik orang yang ada kes salah guna kuasa ini sebagai Timbalan Perdana Menteri melainkan ada satu perjanjian sulit yang berlaku yang Yang Berhormat Pasir Gudang pun tidak tahu, mungkin.
Jadi, saya fikir ini isunya. Jadi, dalam kita menyebut tentang transparency index, ini persoalan yang paling penting. Timbul isu, kadang-kadang saya tengok orang sebut. Oh, dahulu masa PAS ada dalam Perikatan Nasional boleh sahaja berkawan. Ya, kita berkawan membentuk kerajaan dan bagi sokongan tetapi tidak melantik di dalam Kabinet orang yang ada isu-isu dan isu pendakwaan. Ini bukan sahaja dilantik tetapi terus diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini ialah satu perkara yang saya fikir perlu untuk diperhatikan oleh kawan- kawan di sebelah sana.
Saya ingin meneruskan kepada beberapa persoalan yang lain terutamanya dalam perenggan 44 – Kemudahan Pinjaman untuk Usahawan Mikro dan Penjaja Kecil yang disediakan di bawah agensi seperti Bank Negara dan sebagainya. Saya sokong. Cuma Tuan Yang di-Pertua, tiada perincian untuk Program Keusahawanan sebab dalam bajet dahulu, saya dapat mengesan MARA sebagai contoh ada diperuntukkan nilai RM15 juta, BSN RM150 juta melalui Semarak-Belia dan Skim Penjaja Kecil SME Bank sebanyak RM 90 juta dan Agrobank RM30 juta. Kali ini tidak disebut, jadi saya minta perincian.
Begitu juga dengan pelepasan daripada status muflis bagi kes-kecil kecil yang hutangnya kurang RM50,000. Saya mohon perincian mekanisme daripada kerajaan kerana terdapat situasi berbeza, sama ada mereka diisytiharkan muflis hanya menjadi mangsa keadaan atau kerana kecuaian sendiri. Dalam perenggan 101, graduan TVET terima gaji rendah. Jadi kerajaan akan libatkan syarikat swasta dan GLC untuk ambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET ini.
Akan tetapi contoh syarikat yang dinyatakan berada di negeri yang industrinya sudah makmur. Jadi mohon kerajaan melibatkan juga institusi TVET dan syarikat swasta GLC di negeri-negeri berpendapatan rendah seperti Kedah dan Kelantan agar kesan limpahan juga turut dirasai.
Begitu juga apabila Perdana Menteri menyebut, GLC akan menawarkan 35,000 peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET, kumpulan rentan dan veteran. Adakah ia ditawarkan menerusi program MySTEP yang mana ia ditawarkan secara kontrak? Jadi Yang Amat Berhormat Tambun tidak nyatakan MySTEP tetapi bilangan peluang kerjaya sama seperti dinyatakan oleh Yang Berhormat Senator Tengku Zafrul sebelum daripada ini. Soalan saya. Adakah kerajaan bercadang untuk meneruskan peningkatan gaji sebanyak RM100 daripada RM1,400 sehingga RM2,000 kepada RM1,500 sehingga RM2,100?
Begitu juga di dalam isu-isu tumpuan khas kepada anak-anak bumiputera. Saya fikir dalam bajet ini, mungkin ada. Akan tetapi perlu untuk dinyatakan secara terperinci, apakah keistimewaan kepada golongan bumiputera? Oleh sebab hari ini pun Tuan Yang di-Pertua, saya membaca laporan Astro Awani semalam yang menyebut bahawa menerusi dapatan kaji selidik mega tinjauan rakyat Malaysia 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan, menyaksikan 51 peratus responden menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada pada hari ini.
Begitu juga sentimen yang rendah daripada kalangan masyarakat Melayu terhadap keyakinan kerajaan menjadi cabaran utama. Ini terbukti apabila kaum Melayu di Semenanjung mencatatkan tidak puas hati paling tinggi, 71 peratus orang Melayu di Semenanjung tidak puas hati dengan kerajaan yang ada pada hari ini. Kajian sempena 100 hari oleh Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew, The Star dengan bantuan kerjasama beberapa buah firma penyelidikan yang lain.
Jadi, soalan saya ialah hari ini saya fikir kerajaan perlu untuk mengutamakan negeri-negeri yang mempunyai bumiputera yang Malay-based area, sebagai contoh Kelantan, Terengganu dan sebagainya.
Menafikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen, kami yang berada di negeri-negeri ini akan lebih menaikkan menaikkan suhu kemarahan rakyat, temperature dengan izin. Bagi kami Perikatan Nasional, tidak ada masalah. Kami balik ke kawasan, rakyat minta peruntukan, kami kata kerajaan tidak bagi, tidak ada masalah. Akan tetapi itu hanya akan meninggikan suhu kemarahan rakyat.
Jadi, saya ucapkan terima kasih banyak kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah membuat penegasan bahawa LGBT, sekular, komunisme tidak diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan. Itu satu kemajuan yang cukup baik. Oleh sebab itu, barang kalilah saya tengok Yang Berhormat Bagan dan Yang Berhormat Damansara ada, mungkin DAP sudah boleh menilai balik tujuan dan matlamat ditubuhkan kerana DAP menjunjung Perlembagaan Malaysia sebagai sebuah dokumen sekular.
Jadi, apabila Perdana Menteri kata sekular tidak ada tempat, jadi itu satu perkara yang saya rasa cukup baik untuk diterima oleh rakyat. Mungkin satu kajian boleh dibuat balik oleh kawan-kawan yang saya hormati, otai-otai yang lama ini apabila matlamat DAP itu sendiri ialah menjunjung Perlembagaan sebagai dokumen sekular. Bukan saya kata, bagi saya Perlembagaan ini bukan dokumen sekular kerana Perkara 3, meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari Mohd Syahir Che Sulaiman semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.











