
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memastikan semua institusi pendidikan menyediakan akses kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Menurut KPM, kementerian menyediakan program komprehensif bagi memenuhi keperluan MBPK menerusi tiga pilihan persekolahan iaitu sekolah pendidikan khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).
Demikian jawapan bertulis KPM kepada pertanyaan Rushdan Rusmi [PN-Padang Besar] yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan tahap kesediaan penerimaan institusi pendidikan terutama sekolah kepada golongan kelainan upaya (OKU) dan adakah terdapat program komprehensif kepada golongan ini.
Menurut KPM lagi, SPK merupakan sekolah khusus yang menyediakan pendidikan khas bagi MBPK pada semua peringkat persekolahan manakala PPKI adalah program pendidikan bagi MBPK yang hanya dihadiri oleh MBPK di kelas khas di sekolah KPM.
“PPI pula adalah program bagi MBPK yang dihadiri oleh MBPK bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah KPM,” katanya.
Katanya, tahap kesediaan institusi pendidikan diukur melalui pelaksanaan dan pencapaian petunjuk prestasi yang meningkat pada setiap tahun, iaitu bilangan MBPK yang berdaftar di sekolah KPM, bilangan MBPK berada dalam Program Pendidikan Inklusif (PPI), bilangan klien memperoleh khidmat sokongan daripada Pegawai Bidang Khusus, bilangan sekolah yang mempunyai MBPK dilengkapi dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan kebolehpasaran MBPK
“KPM akan terus memastikan semua institusi pendidikan bawah KPM mempunyai tahap kesediaan yang optimum bagi menerima kemasukan MBPK,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023











