Boleh mohon struktur semula bayaran balik pinjaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Antara usaha kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu peminjam yang terkesan dan menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman lanjutan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah dengan menawarkan program penstrukturan semula bayaran balik pinjaman.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kewangan, menerusi program itu, peminjam yang terkesan boleh memohon daripada bank masing-masing untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman mereka melalui pengurangan ansuran bulanan dan pelanjutan tempoh bayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan kewangan mereka.

“Oleh itu, peminjam yang terkesan digalakkan untuk menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi membolehkan institusi kewangan menawarkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan dan situasi kewangan peminjam,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Salamiah Mohd Nor [PN-Temerloh] di Dewan Rakyat, hari ini.

Salamiah meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha Kerajaan dalam membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta langkah yang telah diambil untuk mengawal kadar inflasi di negara ini.

Di samping itu, kata kementerian tersebut para peminjam juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada AKPK seperti Program Pengurusan Kredit (atau Debt Management Programme, DMP) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (atau Small Debt Resolution Scheme, SDRS).

Bagi peminjam individu, Program Pengurusan Kredit boleh membantu peminjam untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman, ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -