
KAMI mengambil serius ucapan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), YB Senator Dato’ Saifuddin Nasution Ismail semasa Konvensyen PH Kedah pada 25 Februari yang dilihat amat angkuh bilamana beliau menghina pengundi muda serta menuduh mereka tidak berpelajaran kerana telah mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ucapan Saifuddin dalam video yang tular di media sosial: “Kecenderungan orang muda yang tinggi pelajaran dan stabil pendapatan mereka akan undi PH. Tetapi makna pelajaran yang tidak tinggi naik motor pi sana sini ini mereka bagi kepada Perikatan lah.”
Ini bukan kali pertama pemimpin PH menghina pengundi muda. Jelas sekali mereka amat terkesan dengan penolakan pengundi muda kepada PH pada PRU ke-15.
Kebangkitan anak-anak muda dari semua latar belakang menolak PH dan BN amat jelas, malah ramai dalam kalangan mereka ini adalah terpelajar dan berkerjaya.
Kami dari PERIKATAN NASIONAL (PN) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anak muda bandar dan luar bandar serta yang berada di luar negara yang memberikan sokongan kepada PN pada PRU15.
Kami yakin dengan keangkuhan sikap pemimpin PH ini bakal diterjemah dengan penolakan lebih ramai anak muda pelbagai latar belakang terhadap PH dalam Pilihan Raya Negeri di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang nanti.
“Malaysia Sejahtera”
YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
Bertarikh: 8 Syaaban 1444 | 28 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 28/2/2023











