Wan Saiful lepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, membuat keputusan untuk melepaskan jawatan eksekutifnya dalam parti itu susulan berdepan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, semalam.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Katanya, beliau menyerahkan keputusan mengenai kedudukannya itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu selepas ini.

“Keputusan yang saya ambil ini sesuai dengan prinsip integriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini.

“Tindakan ini juga membezakan antara saya dengan kluster mahkamah yang bermaharaja lela dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun katanya, beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu.

Menurut Wan Saiful, jawatan Ketua Penerangan Bersatu itu dilepaskan kerana meyakini prinsip yang diperjuangkannya selama ini.

“Jadi, jangan sesekali mana-mana pihak cuba menyamakan saya dengan individu lain dalam kluster mahkamah.

“Saya dengan suka rela dan tanpa berbelah bagi melepaskan jawatan saya yang berbentuk eksekutif ini sedangkan mereka mencari dan menggunakan jawatan eksekutif untuk kepetingan diri sendiri,” katanya.

Beliau juga berharap rakyat dapat menilai bagaimana situasi yang dilaluinya itu merupakan satu kesongsangan dalam pentadbiran sekarang.

Katanya, kerajaan daripada memberi fokus kepada isu rakyat seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, masalah bekalan telur dan ayam dalam pasaran, namun lebih memilih untuk membalas dendam.

“Kesumat politik ini adalah satu perkara yang berterusan dalam kerajaan hari ini sebagai langkah untuk menutup kegagalan mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang mereka jalankan,” katanya.

Semalam, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -