
KUALA LUMPUR: Menteri Makanan Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu mengambil kira cadangan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Tuan Ibrahim mencadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) supaya bekerjasama membangunkan SMART SBB seperti mana dilakukan Lembaga Zakat Kedah sebelum ini.
“Pada tahun 2022, sebanyak 19 syarikat peneraju menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) dengan kerajaan negeri termasuk Lembaga Zakat Kedah yang mensasarkan pembangunan asnaf Kedah.
“Apakah kerajaan juga berhasrat mengadakan kerjasama dengan agensi zakat negeri lain?” katanya dalam soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Presiden PAS itu turut meminta Mohammad Sabu membentangkan data lengkap mengenai jumlah keluasan projek SMART SBB setiap negeri dan bilangan peserta di setiap negeri.
Menjawab cadangan itu, Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama agensi kerajaan yang ingin terlibat dalam SMART SBB terutamanya dalam menyediakan dana.
“Sekarang ini kita sasarkan kepada 150,000 hektar, (tetapi) yang baru kita jalankan hanya 11,000 hektar. Jika agensi zakat mana-mana negeri mahu terlibat sebagai badan yang boleh membiayai, kita alu-alukan, termasuk Kelantan.
“Ini kerana SMART SBB yang sedang dilaksanakan di Kelantan hanya sekitar 138 hektar iaitu di Paser Puteh dan hasilnya belum lagi tinggi seperti di tempat lain, hanya mencapai sekitar 3.1 tan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2023











