Senarai barang keperluan makanan diimport lebih 50%

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan diminta menyatakan senarai barangan keperluan makanan yang diimport dari luar melebihi 50 peratus.

- Advertisement -

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan [PN-Permatang Pauh] bertanyakan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi, hari ini.

Beliau juga meminta kementerian itu menyatakan perancangan jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil import.

Soalan daripada Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan status terkini program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan sebelum ini.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status terkini Program Skuad WAJA dan apakah perancangan pihak Kementerian bagi memperkasakan lagi program tersebut pada masa akan datang.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah terdapat perancangan dari pihak Kementerian untuk memulihkan kembali Kompleks Sejarah Pasir Salak menjadi salah satu tarikan pelancong di negara ini.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani penyeludupan yang mencecah 57% produk tembakau rokok dan 33% produk beralkohol bir dan berapakah anggaran kerugian hasil duti eksais, cukai jualan dan duti import akibat penyeludupan ini.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah peratusan hasil perikanan dalam masa 10 tahun dan langkah-langkah bagi meningkatkan sumber bekalan perikanan laut negara.  

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan usaha Kementerian dalam mengatasi masalah jalan berlubang yang telah meragut nyawa ramai pihak. Adakah peruntukan bagi mengatasi masalah ini diberikan sama rata di antara negeri-negeri yang ditadbir oleh Kerajaan mahupun pembangkang. 

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah usaha yang dilakukan untuk membantu ibu-ibu yang terpaksa menyara keluarga akibat suami yang menjalani hukuman penjara.           

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan sejauh mana perkembangan dan kemajuan industri pelancongan berasaskan motorhome, camper van, caravan di negara ini. Kerajaan hendaklah menyediakan tapak perkhemahan motorhome yang lengkap dengan fasilitinya di setiap daerah untuk merancakkan industri pelancongan ini.

Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan akan melaksanakan Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan untuk menghapuskan kemiskinan.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan dasar penyewaan tanah Kerajaan untuk tujuan pertaniaan:-

                (a) adakah dasar ini masih lagi diteruskan; dan

                (b) adakah terdapat insentif yang akan diberikan kepada pengusaha /penyewa.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Kewangan menyatakan:-

                (a) apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk menangani isu kekurangan simpanan bagi sebahagian besar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah 55 tahun; dan

                (b) adakah Kerajaan bercadang untuk menubuhkan sebuah dana atau program ekonomi khas untuk membantu golongan yang terkesan.       

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan senarai barangan keperluan makanan yang diimport dari luar melebihi 50% serta nyatakan perancangan jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil import.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pendidikan menyatakan inisiatif khas Kementerian dalam menangani isu keciciran pelajar akibat pandemik Covid-19.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan statistik jenis pelancongan yang menjadi pilihan pelancong tempatan pada tahun 2022 iaitu pada fasa pasca Covid-19.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan masa hadapan KPM berkaitan sistem pembelajaran berasaskan digital dalam kalangan murid seperti penggunaan peranti, bahan mengajar dan kemudahan komunikasi dalam talian seperti yang telah dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah dan tindakan bagi menangani masalah ketidakhadiran pelajar-pelajar ke sekolah bagi pelajar di daerah Dungun selepas berlakunya pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Kewangan menyatakan prospek keutuhan pengurusan fiskal Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 dan pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan dalam situasi pemulihan ekonomi pasca PRU-15.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah status kelulusan RM1.5 juta projek baik pulih Laman Changkat Jering (LCJ) yang telah diumumkan oleh YB Menteri pada 28 September 2020. Bilakah projek ini boleh dimulakan bagi dijadikan pusat pengumpulan dan pengedaran (CCDC) sumber-sumber laut sekitar Sungai Tinggi dan Matang serta produk pertanian yang lain.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah tindakan pihak Kerajaan bagi membantu pesawah padi di Bagan Tiang, Sungai Star, Sg. Labu Bawah, Sungai Bakau yang terkesan akibat tanah jerlus yang menyebabkan padi tidak dapat dituai mengikut jadual dan para petani mengalami kerugian.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah Kementerian telah menyemak semula beban tugas guru seperti terlalu banyak sistem online yang perlu guru laksanakan, bebanan kerja bukan PdPc dan arahan kerja yang tidak konsisten dari KPM.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Kerja Raya menyatakan projek pembangunan berskala besar yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri Pantai Timur di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk manfaat langsung rakyat berbanding negeri-negeri pantai barat.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pendidikan menyatakan dengan jelas berapa jumlah pertukaran guru mengikut pecahan tahun 2016 hingga 2022 dan apakah penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh KPM bagi tempoh 2 tahun dan adakah kaedah yang diguna pakai dapat meningkatkan kadar pertukaran guru.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan perancangan pembangunan pelancongan ecotourism dan agrotourism di daerah Sik yang sangat berpotensi untuk dimajukan bagi kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan status Tapak Arkeologi Lembah Bujang yang sedang dikaji kesesuaiannya untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada masa hadapan. Sekiranya data penyelidikan lengkap diperolehi serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak UNESCO, adakah usaha pencalonan akan dilaksanakan.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam memupuk kesedaran kepentingan pendidikan duniawi dan ukhrawi seawal usia di prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -