PPWK bantu armalah keluar kepompong kemiskinan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seramai 18 armalah dan asnaf di Dewan Undangan Negeri (Dun) Gaal bersyukur kerana berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan selepas menekuni bidang jahitan dalam tempoh enam bulan.

- Advertisement -

Penyelia Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Dun Gaal, Nor Madiah Che Mat berkata, usaha tersebut dibuat melalui Projek Kerjaya Komuniti dengan kerjasama Masjid Ibrahimi Mukim Wakaf Raja.

Katanya, armalah dan asnaf terbabit merupakan peserta dan graduan PPWK Dun Gaal dalam bidang jahitan.

“Sekarang mereka sudah menerima banyak tempahan jahitan dari pelbagai agensi dan syarikat swasta.

“Sejak akhir Disember lalu kami menyiapkan tempahan baju kelawar kaftan sebanyak 3,000 helai untuk dipasarkan di pasar raya di bawah Mydin Mohamed Holdings Berhad.

“Projek tersebut berakhir bulan ini. Dan selepas itu kami akan menyiapkan pula tempahan lain. Setiap bulan kita sentiasa menerima tempahan dalam skala pukal,” katanya ketika ditemui di sini.

PPWK Gaal ditubuhkan pada 2005 memberi kemahiran kepada wanita dalam bidang jahitan, masakan dan kraftangan.

Nor Madiah juga berkata PPWK Gaal turut menjalinkan usahasama dengan Yayasan Ikhlas Malaysia, Giatmara Kelantan, UMW Corporation Sdn Bhd dan Bitara Emas Sdn Bhd.

Menurutnya inisiatif tersebut hasil usaha secara berterusan Masjid Ibrahimi Mukim Wakaf Raja dan Pusat Khidmat Dun Gaal.

Beliau berkata, melalui kerjasama terbabit Masjid Ibrahimi turut menghulur bantuan berkala kepada golongan armalah dan asnaf bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

“PPWK dan pihak masjid juga bekerjasama mengenal pasti ibu tunggal dan asnaf yang tiada kemahiran untuk membolehkan mereka mendalami bidang jahitan.

“Mereka juga mengikuti kursus di Giat Mara selama sebulan sebelum diterima terlibat dalam projek di Pusat Kerjaya Komuniti,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -