Gunakan kaedah `G to G’ atasi pencerobohan nelayan asing

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bergerak luar daripada kebiasaan untuk menangani pencerobohan nelayan asing dengan menggunakan pendekatan G to G (Kerajaan dengan Kerajaan).

- Advertisement -

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, jawapan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) ketika menjawab soalan lisan asalnya apabila diamati adalah jawapan tipikal yang selalu didengari dalam Dewan Rakyat berhubung usaha mengatasi pencerobohan nelayan asing.

Katanya, ini kerana kerajaan mengetahui nelayan yang menceroboh perairan negara itu datang dari negara mana.

“Kalau setakat tangkapan, tadi disebut 223, saya yakin itu hanya sebahagian kecil, yang terlepas banyak lagi. Kalau angka yang saya dapati pada tahun lepas ada lebih kurang 8,000 bot nelayan asing yang menceroboh dan anggaran kerugian yang kita tanggung ialah RM4 bilion. Itu satu angka yang sangat besar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri.

Dalam soalan lisan asal, Pengkalan Chepa meminta kerajaan menyatakan usaha bagi mengatasi pencerobohan nelayan asing seperti nelayan Vietnam di kawasan Laut China Selatan yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan menceroboh kedaulatan negara.

Ahmad Marzuk berkata, sudah sampai masa kerajaan bertindak secara agresif bagi menangani isu ini kerana pencerobohan nelayan asing datang dengan ancaman yang berantai, bukan saja tangkapan terancam bahkan membabitkan isu keselamatan, dadah, penyeludupan dan pencerobohan sempadan yang mungkin menjejaskan tahap keselamatan negara. – HARAKAHDAILY 15/2/23

- Advertisement -