Bot terbalik terlanggar tali pengikat feri

Pasukan mencari dan penyelamat menelusuri Sungai Kelantan. - Foto Ibu Pejabat Polis Daerah Machang
- Advertisement -

MACHANG: Gerakan mencari mangsa lemas di Sungai Kelantan mendapat perhatian beberapa wakil rakyat yang berkunjung ke lokasi kejadian, petang semalam.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah; Adun Pulai Chondong, Azhar Salleh dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang, Adib Firdaus, meninjau dari dekat operasi menyelamat.

- Advertisement -

Dalam kejadian itu, Muhammad Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, dipercayai lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua lelaki terbalik.

Ketika kejadian, mangsa bersama dua bapa saudaranya, Muhamad Riduan Hatta, 23 dan Mohd Subry Che Ahmad, 39, menjalankan aktiviti memukat.

Bagaimanapun, bot yang mereka naiki terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir Haji Pa di Kampung Paloh Rawa, akibat terlanggar tali pengikat feri.

Bapa saudara mangsa terselamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai.

Mohd Fauzi berkata, mangsa bersama dua bapa saudaranya ke sungai untuk menangkap ikan, petang Selasa.

“Setelah selesai aktiviti memukat, mangsa dan bapa saudaranya mahu pulang, namun semasa melintasi Pengkalan Ravi bot yang dinaiki mereka terlanggar tali pengikat feri dan terbalik.

“Riduan dan Mohd Subry berjaya berenang ke tebing, namun mangsa tidak berjaya,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Amal Malaysia dan orang awam.

“Kita pakat doa agar segala urusan untuk mencari dan menyelamat adik Hisyamuddin dipermudahkan,” ujarnya.

Ketua Pemuda PAS Machang, Raduan Awang Hamat, pula berkata penduduk Mukim Paloh Rawa merakamkan setinggi penghargaan kepada wakil rakyat di atas kecaknaan meninjau operasi menyelamat.

Katanya, mereka bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa bot karam petang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan dan mereka yang terbabit dengan aktiviti menyelamat. – HARAKAHDAILY 26/1/23

- Advertisement -