
KUALA LUMPUR: Kuota Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi untuk tahun ini sebanyak 31,600 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar (Hal Ehwal Agama).
Sehubungan itu, bagi pihak Kerajaan Malaysia, beliau menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh itu.
Beliau yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima
“Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancer,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi, beliau telah mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia, semalam.
Beliau menjelaskan, mesyuarat khas tersebut berlangsung dengan penuh mahabbah khususnya membincangkan aspek persiapan musim haji tahun ini.
Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah memuji negara Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.
Beliau telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Sehubungan dengan itu, saya sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kuota Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2023




















