
DHAKA: Bangladesh melancarkan perkhidmatan rel metro pertama yang sebahagian besar kos dibiayai oleh Jepun di ibu kota yang padat penduduk itu, semalam.
Perdana Menteri, Sheikh Hasina merasmikan perkhidmatan itu diiringi Duta Besar Jepun yang baru dilantik, Kiminori Iwama dan Ketua Wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Ichiguchi Tomohide.
“Kami telah menambah satu lagi kebanggaan kepada rakyat Bangladesh hari ini. Satu lagi mahkota pembangunan Bangladesh,” katanya ketika perasmian.
Hasina turut menjadikan upacara itu untuk memperingati enam jurutera kereta api Jepun yang bekerja menyiapkan projek itu yang terbunuh ketika serangan terhadap sebuah kafe di bandar ini pada 2016. Seramai 29 orang maut, termasuk 20 tebusan.
Jun lalu, Hasina merasmikan jambatan sepanjang 6.51 kilometer merentangi Sungai Padma, yang dibina oleh China dengan kos kira-kira AS$3.6 bilion dan dibayar menggunakan dana domestik. Ia adalah antara lebih 100 jambatan yang dirasmikan Hasina sejak beberapa bulan lalu.
Pembangkang sering menuduh kerajaan Hasina melakukan rasuah dalam pelaksanaan projek besar, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.
Versi terhad perkhidmatan metro yang dilancarkan semalam, dijangka berkembang kepada lebih 100 stesen dan enam laluan merentasi bandar ini menjelang 2030.

Seksyen laluan pertama menghubungkan kejiranan utama di pinggir Dhaka dengan pusat bandar, dibina dengan kos AS$2.8 bilion yang sebahagian besarnya dibiayai oleh JICA.
Mengikut dokumen projek, laluan itu dijangka membawa 60,000 orang setiap jam apabila beroperasi sepenuhnya.
Dhaka adalah antara bandar paling padat penduduk di dunia dengan lebih 20 juta orang berulang-alik di jalan yang sesak. Mengikut penyelidikan Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh, ekonomi di Dhaka kerugian kira-kira AS$3 bilion setiap tahun dalam bentuk masa kerja yang hilang akibat kesesakan lalu lintas.
Duta Jepun, Iwama, menekankan hubungan yang lama terjalin antara kedua-dua negara dan menggariskan komitmennya untuk mengeratkan hubungan kerana lebih banyak pelaburan dan kewangan Jepun akan datang ke Bangladesh.
Ketua JICA, Tomohide, pula berkata projek kereta api metro itu adalah contoh terbaik kerjasama antara kedua-dua negara dan akan mengubah kehidupan rakyat biasa di Dhaka.
Jepun dan China adalah rakan pembangunan utama Bangladesh, yang berusaha untuk keluar dari kelompok negara paling kurang membangun kepada negara membangun dalam senarai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menjelang 2026. – AP











