
HERAT: Seorang bekas tentera Soviet yang memilih untuk tinggal di Afghanistan apabila Tentera Merah berundur selepas pendudukan selama sedekad yang berakhir pada 1989 meninggal dunia, semalam.
Bakhretdin Khakimov, 60-an yang dikenali sebagai Sheikh Abdullah, meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida dari pemanas yang bocor di bandar ini yang terletak di barat Afghanistan.
“Dia meninggal dunia akibat terhidu gas yang keluar dari pemanas,” kata Ketua Jabatan Forensik Herat, Ahmad Shah Mushfiq, kepada agensi berita AFP, sambil memberitahu bahawa tidak ada keadaan yang mencurigakan.
Jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid mengucapkan takziah kepada keluarga Abdullah.
“Dia datang ke Afghanistan bersama bekas tentera Soviet dan telah ditawan,” kata Mujahid dalam tweet.
“Dia kemudian menjadi seorang Muslim, berkahwin di sini dan tinggal di Herat.”
Abdullah adalah seorang pegawai perisikan tentera tentera Soviet yang menduduki Afghanistan selama 10 tahun selepas menyerang pada tahun 1979.

Dia cedera dalam pertempuran sekitar 1985, mengalami luka serius di kepala, katanya kepada AFP dalam satu temu bual pada 2015. Dia memberitahu berhutang nyawa kepada musuhnya, pejuang Afghanistan yang menemuinya dan merawatnya.
“Saya berasa sangat malu kerana merosakkan negara ini dan menyebabkan kerugian kepada ramai orang,” katanya ketika itu.
“Saya tinggal di Afghanistan kerana rakyat negara ini sangat baik dan peramah.”
Dalam beberapa tahun lalu, Abdullah yang berjanggut dan sering berpakaian tradisional Afghanistan, bekerja di sebuah muzium di Herat.
“Dia seorang yang baik, seorang Muslim yang baik,” kata rakannya, Saeed Ghulam Hassan kepada AFP
Selepas menyerang pada malam Krismas pada tahun 1979, Tentera Merah menarik diri sedekad kemudian setelah kehilangan hampir 15,000 tentera yang memerangi pejuang Mujahidin. Peperangan itu juga mengorbankan lebih sejuta rakyat Afghanistan. – AFP











