Lebih 100 penoreh getah berdepan ancaman gajah liar

- Advertisement -

PADANG TERAP: Lebih 100 penoreh getah di Kampung Cherok Cek Pedu dekat sini bimbang untuk keluar menoreh getah ekoran ancaman gajah liar.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid berkata, kehadiran gajah liar
membahayakan keselamatan penduduk yang keluar menoreh.

Katanya penduduk Padang Terap yang mencari rezeki sebagai pekebun kecil dan penoreh getah sekarang berdepan dengan ancaman gajah liar.

“Terbaru kumpulan gajah liar memusnahkan tanaman penduduk. Berdasar najis dan tapak kaki gajah yang di kesan di lokasi terbabit dianggarkan paling kurang 5 ekor gajah memasuki kebun.

“Kumpulan gajah terbabit memakan tanaman yang diusaha penduduk termasuk kelapa, pisang dan sawit,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

Oleh itu kata beliau kehadiran gajah liar tersebut akan diketengah kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah.

Menurutnya penduduk berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan menangkap atau menghalau haiwan liar itu dari kawasan tersebut untuk menjamin keselamatan penduduk.

Pada awal tahun ini media melaporkan lebih 50 penduduk di Bukit Panchor, Kampung Lebai Saman, Naka berada dalam keadaan ketakutan selepas sekumpulan gajah liar menceroboh dusun dan kebun getah mereka.

Menurut penduduk gajah liar terbabit memusnahkan sebahagian hasil tanaman termasuk pokok kelapa, pisang dan pinang. – HARAKAHDAILY 26/12/2022

- Advertisement -