
GOMBAK: Para pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekolah Rendah Agama Ibnu Jauzi beratur hampir 200 meter dari pintu utama sekolah tersebut susulan kehadiran pengundi yang mahu membuang undi awal pagi ini.
Tinjauan Harakahdaily pagi ini mendapati, orang ramai yang ingin membuang undi di UDM tersebut datang seawal 7.20 pagi.
Walaupun hujan renyai pengundi tidak berganjak sebaliknya di setiap saluran jumlah pengundi semakin bertambah.
Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Parlimen Wangsa Maju, Ustazah Nuridah Mohd Salleh merupakan pengundi di SRA Ibnu Jauzi turut datang awal dan beratur panjang.
Beliau masuk ke dewan untuk mengundi jam 8.39 pagi.
Sementara itu, di UDM Dewan Orang Ramai Taman Gombak pengundi beratur sepanjang hampir 1 kilometer.
Dalam keadaan renyai ada yang berpayung, bertopi dan ada yang tiada menggunakan apa-apa pelindung.
Para pengundi yang keluar mengundi awal itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Pengundi dipercayai keluar awal mengundi susulan cuaca yang tidak menentu.
Harakahdaily mendapati suasana pengundian di kebanyakan UDM pagi ini sehingga jam 9.17 pagi, seperti suasana hari mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Pagi ini kelihatan ramai anak-anak muda turut beratur bagi menunaikan hak untuk memilih pemimpin. Wakil Harakahdaily juga turut beratur panjang bersama-sama pengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab membuang undi.
Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan penyandang, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali (PERIKATAN NASIONAL), Dato’ Seri Amiruddin Shaari (PH), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (BN) dan dua calon Bebas. – HARAKAHDAILY 19/11/2022




















