Armada lapor polis terhadap calon BN Machang

- Advertisement -

MACHANG: Angkatan Muda Bersatu (Armada) Machang meminta pihak polis menyiasat dakwaan calon Barisan Nasional (BN) Machang dikatakan mempengaruhi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meluluskan projek naik taraf surau bernilai RM2.2 juta di tanah dipercayai milik isterinya.

- Advertisement -

Jurucakap Armada Machang, Ahmad Firdaus Nawi, 34 berkata, projek naik taraf surau itu dilaksanakan di Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang.

Katanya, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakob didakwa menggunakan kedudukan ketika itu sebagai Timbalan Menteri mendapat peruntukan kerajaan bagi menaik taraf surau tanpa memaklumkan tanah tersebut dipercayai milik isterinya.

“Saya mewakili Armada membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas laporan mengenainya disiar sebuah portal berkaitan calon BN Parlimen Machang,” katanya selepas membuat laporan polis hari ini.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang. Hadir sama Ketua Pemuda PAS Machang, Razuan Awang Hamad.

Laporan polis tersebut dibuat dengan merujuk sebuah portal giaklian.wordpress.com yang mendakwa penyandang kerusi Parlimen Machang menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Luar Bandar mempengaruhi KKLW bagi meluluskan projek di atas sebidang tanah persendirian di Bukit Tiu, Machang dipercayai milik isterinya.

Oleh itu, Ahmad Firdaus berkata, pihak berkuasa perlu menyemak kenyataan dikeluarkan portal terbabit supaya rakyat tahu perkara sebenar bagi mengelakkan rakyat tidak tersalah membuat keputusan Sabtu ini.

Razuan pula memberitahu laporan tersebut dibuat bukan untuk menuduh calon terbabit, sebaliknya mencari kesahihan terhadap isu yang disiarkan di portal.

Pada PRU kali ini, Jazlan dicabar Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN), Mejar (B) Muhammad Seman (Putra) dan Dr Rosli Alani Abdul Kadir (PKR). – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -