
KOTA BHARU: Lebih 16,000 mahasiswa dan anak perantau Kelantan berpeluang pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini dengan menggunakan bas yang disediakan secara percuma.
Sebanyak 430 bas disewa khas berulang alik selama tiga hari membawa pengundi pulang sehingga malam Sabtu ini.
Setiausaha Urusan Pengundi Luar Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Malik Abdul Karim berkata, kepulangan kumpulan pertama bermula malam tadi.
“Kita menyambut bas mahasiswa hari ini dan peringkat kedua pula dalam kalangan perantau dari seluruh Malaysia, pagi ini trip pertama tiba selepas bertolak malam tadi.

“Mereka pulang dengan bas yang kita uruskan, manakala ramai lagi yang balik menggunakan kenderaan sendiri,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Balik Mengundi di ruang parkir Pasar Raya Mydin Tunjung hari ini.
Turut menyambut kepulangan mahasiswa dan anak perantau calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; calon PN Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan calon PN Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Abdul Malik berkata, langkah itu merupakan inisiatif dilakukan PAS Kelantan bagi menggalakkan mahasiswa yang merupakan pengundi baharu balik menunaikan tanggungjawab mengundi.
Menurutnya juga usaha memberi kesedaran kepada mahasiswa dan anak perantau supaya pulang mengundi membuah kejayaan biarpun pada peringkat awal ada yang kurang berminat. – HARAKAHDAILY 17/11/2022




















