
PEMUDA Perikatan Nasional Selangor menzahirkan rasa kesal dengan sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap siri penipuan dan fitnah yang dilemparkan oleh Saudara Rafizi Ramli, calon P.100 Pandan dari Pakatan Harapan.
Tuduhan terbaru yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kelulusan projek oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang kononnya dibuat sewaktu ‘caretaker government’ merupakan satu fitnah yang amat jahat dari calon Pakatan Harapan ini.
Sememangnya Rafizi wajar digelar sebagai kaki fitnah no 1 negara. Selepas beberapa siri fitnah yang telah dibuat sebelum ini, Rafizi tidak serik untuk mengulangi skrip dan senario yang sama untuk meraih sokongan pengundi. Lebih jijik apabila dia menggunakan fasa kempen yang singkat untuk membunuh karakter berpengaruh daripada parti pihak lawan.
Sejak tahun 2014, tiada satupun tuduhan-tuduhannya berjaya dikemukakan bukti ke mahkamah. Apa yang berlaku hanyalah beliau meminta maaf selepas fitnah itu, membayar pampasan ataupun menarik balik tuduhan.
Pada tahun 2015 misalnya, PKR terpaksa memohon maaf berhubung naratif ‘Langkah Kajang’ yang direka oleh Rafizi Ramli. Pada tahun 2016, Rafizi Ramli telah gagal dalam kes fitnah dana awam National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan perlu membayar ganti rugi.
Kemudian, dia didenda oleh mahkamah pula kerana fitnahnya pada isu ‘black-out’ ketika PRU-13 dan menganjurkan himpunan haram ketika itu. Masih ada kes-kes fitnah lain yang dibuat tidak dinyatakan di sini.
Beliau tidak serik untuk menambah koleksi fitnahnya dengan memfitnah Dato’ Seri Tuan Ibrahim pula yang sehingga hari ini tiada sebarang bukti kukuh ditampilkan. Desakan agar beliau laporkan ke SPRM juga tidak dapat dibuat kerana beliau sendiri sedar tiada sebarang bukti mampu ditampilkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berkenaan perkara tersebut.
Rafizi tidak perlu membuat tuduhan tidak berasas untuk mengalih isu aset RM 18.85 juta yang diperolehinya. SPRM akan memulakan siasatan terhadap Rafizi kerana mendapati wujud asas untuk berbuat demikian. Rakyat meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM untuk membuat siasatan terhadap sumber kewangan yang menjadi persoalan rakyat khususnya pengundi di Parlimen Pandan.
Pengundi Pandan menolak budaya politik fitnah kotor dan persepsi yang cuba dimainkan untuk meraih sokongan. Kami yakin pengundi Pandan akan memilih calon dari parti yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk diangkat ke Dewan Rakyat.
‘Trend’ sokongan rakyat khususnya pengundi muda terhadap Perikatan Nasional menjadi bukti bahawa rakyat memerlukan pemimpin yang berintegriti dan prihatin terhadap masalah yang membelenggu mereka.
Justeru, kami menyeru agar pengundi Pandan memberikan kepercayaan kepada Saudara Farique Zubir, anak muda dan akauntan bertauliah sebagai ahli Parlimen. Tokoh muda ini diyakini mampu menjadi suara penghubung masyarakat Pandan terhadap segala permasalahan yang dihadapi khususnya isu kos sara hidup yang menjadi igauan anak muda ketika ini.
Tolak kaki fitnah, pilih akauntan berwibawa.
MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor
14 Nov 2022
Pandan. – HARAKAHDAILY 14/11/2022











