
KOTA BHARU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua penyokong mana-mana parti politik menjaga dan mengelak sebarang unsur provokasi dan perang mulut.
Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, seharusnya dalam tempoh kempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) sekarang bukan untuk bermusuh sehingga berlaku pergaduhan.
Katanya, semua penyokong parti politik kena ingat proses demokrasi hanya untuk memilih wakil rakyat dan bukannya mencetus permusuhan.
“Kita pelru ingat ini proses pemilihan wakil rakyat kerana selepas PRU kita akan berkawan seperti biasa.
“Sebab itu kita perlu jaga keharmonian, tambahan pula kita sebagai orang Islam,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi penduduk di Pengkalan Chepa hari ini. (Foto atas)
Petang semalam tular video berdurasi 1 minit dan 16 saat berkaitan perang mulut antara penyokong dua parti pada program ceramah di Sungai Dulang, Hutan Melintang.
Kejadian sekitar jam 6.50 petang itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham apabila ada penyokong membangkitkan sumbangan yang dilakukan parti tertentu
.
Suasana tegang itu timbul semasa calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berucap pada program itu yang turut dihadiri pelakon dan pengarah filem Dato’ Afdlin Shauki.
Ketika program baru bermula terdapat sekitar beberapa lelaki menghampiri kawasan ceramah dan melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun.
Sementara itu, Shamsul Iskandar dalam perkongsiannya di Facebook turut mendakwa, ada penyokong parti membawa senjata parang ketika kekecohan berlaku. – HARAKAHDAILY 14/11/2022




















