MAFI agih lebih RM1 juta bantu 168 petani

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Lebih RM1 juta diperuntukan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membantu 168 golongan sasar di Kelantan tahun ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri II MAFI, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, bantuan itu membabitkan program Agropreneur Muda seramai 25 peserta dan Geran Pemadanan Change Upgrade Product (31 peserta).

Selain itu bantuan Rezeki Tani melibatkan 16 peserta serta bantuan kepada 71 pesawah, di mana tanaman mereka seluas lebih 91 hektar terjejas akibat ribut.

“Bantuan itu diagih menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Tani di Bandar Baru Tok Janggut di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi KADA Dato’ Kamarudin Md Nor dan lebih 300 penduduk yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk Karnival My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat dan Sukan Rakyat diadakan selama tiga hari.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Pasir Puteh berkata, program berkenaan bertujuan memperkasakan komunti agromakanan luar bandar.

Selain itu katanya bagi menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan semangat petani agar lebih gigih berusaha mengeluarkan bekalan makanan negara dan meningkatkan ekonomi dalam kalangan pengusaha kecil pertanian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -