Calon PN mahu wujud Gudang Aspirasi bantu rakyat

Wan Zikri Afthar Ishak bersama penduduk setempat.
- Advertisement -

ARAU: Calon PERIKATAN NASIONAL Tambung Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak berazam mewujudkan Gudang Aspirasi Saidina Umar Al-Khatab sekiranya mendapat mandat rakyat Sabtu ini.

- Advertisement -

Menurutnya nama itu diambil kira kisah Saidina Umar Al Khatab menyimpan makanan di gudang tersebut untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

Kata beliau pengalaman merasai kesusahan dan keperitan rakyat semasa pandemik Covid-19 sebelum ini membuatkan usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan gudang bagi membantu rakyat ketika kecemasan.

“Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana saya pernah buat sebelum ini membantu rakyat yang susah ketika pandemik. Idea ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan padu rakyat.

“Apa salahnya kita wujudkan gudang seperti ini untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kesukaran,” katanya pada pentas Calon Anak Muda PERIKATAN NASIONAL (PN) di sini malam tadi.

Beliau juga berkata, ramai anak muda yang baru membina keluarga berdepan dengan kesukaran menyara kehidupan mereka ekoran wabak yang berlaku sebelum ini.

Menurutnya sekarang ada anak muda yang mendapat pendapatan RM30 sehari, tidak mampu untuk membeli keperluan asas keluarga.

“Ada juga yang memberi anak kecil mereka minum sirap kerana tidak mampu membeli susu formula, sedangkan kita nak lahirkan generasi yang sihat,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak merasa selesa dengan gelombang rakyat yang melanda Perlis sekarang, sebaliknya perlu bekerja lebih gigih.

“Jangan rasa selesa dan seronok sebab kita masih ada lagi baki beberapa hari, kita perlu beritahu rakyat Perlis kita perlu berubah, insyaAllah kalau kita semua bekerja kuat, Perlis akan jadi milik kita,” tegasnya.

Sementara itu PERIKATAN NASIONAL Perlis menawarkan 10 tawaran kepada rakyat Perlis antaranya menjadikan negeri itu bebas berniaga dan mempermudahkan kelulusan lesen serta menyalur dana perniagaan. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -