
KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) dianggap ketandusan modal untuk menyerang PERIKATAN NASIONAL (PN) sehingga mengungkit tugas Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelantikan utusan khas merupakan prosedur biasa sebagai menghargai peranan besarnya untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia.
Katanya pemimpin PH lebih baik cari isu yang lebih logik untuk meraih sokongan rakyat ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekarang.
“Benda ini berlaku sepanjang zaman bukan sahaja zaman PH atau Barisan Nasional (BN), mereka pun melantik Duta Khas, namun Duta Khas lain mereka seperti tidak kisah pula.
“Bagi saya mereka tiada modal. Orang tiada modal dia cari apa-apa pun tetapi sebenarnya dia tiada modal sehingga terpaksa korek apa sahaja,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ceramahnya dilapor mempertikaikan tugas Duta Khas yang dilantik oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tuan Ibrahim yang juga penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian berkata, peranan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sangat besar khususnya mendamaikan umat Islam yang bertelagah sesama sendiri.
Katanya melalui hubungan peribadi dengan pemimpin negara Timur Tengah Tuan Guru Abdul Hadi mampu meleraikan perbalahan umat Islam termasuk pergaduhan antara fahaman suni dan syiah serta peperangan negara Arab.
Malah kata beliau tokoh tersebut merupakan pemain utama dalam rundingan perdamaian konflik Aceh, Indonesia sehingga Gerakan Aceh Merdeka setuju memilih jalan damai dengan pemerintah.
“Alhamdulillah dia berjaya menghentikan pergolakan dan peperangan yang merugikan umat Islam, jadi peranan itu bukan benda baru, malah sudah lama,” ujarnya.
Beliau juga berkata, PH membangkitkan isu tersebut kerana mereka mulai bimbang apabila rakyat semakin menolak gabungan PKR, Amanah dan DAP.
“Mungkin mereka tidak tentu arah melihat sokongan rakyat kepada PN yang makin hebat sejak kebelakangan ini, sedangkan keadaan sebaliknya berlaku terhadap PH.
“Dan kita harapkan insya-Allah gelombang ini terus kekal sehingga hari pembuangan undi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2022











