RM1.67 bilion jualan program Jualan Murah Keluarga Malaysia

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih RM1.67 bilion hasil jualan dicatat melalui Program Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu membantu 241,470 peniaga termasuk 91,000 usahawan wanita.

Manakala katanya sebanyak RM58.65 juta disalurkan kepada rakyat dalam bentuk potongan harga, rebat, diskaun, yuran pendaftaran dan yuran transaksi.

Kata beliau program itu yang dilancar pada 3 September lalu mencatat pencapaian yang membanggakan, mampu meningkatkan keupayaan usahawan menggunakan teknologi digital dan jualan.

“Ini merupakan satu pencapaian dan peluang yang harus direbut usahawan terutama usahawan wanita untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran digital demi memajukan diri dan perniagaan.

“Menerusi program eUsahawan kerajaan berjaya melatih lebih 450,000 peserta yang mampu menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion,” katanya pada sidang media selepas program Jelajah Saya Digital Keluarga Malaysia@Kok Lanas, di sini, hari ini.

Annuar juga berkata, setakat ini seramai 995 peserta berdaftar dan 317 orang dilatih di bawah program Kempen #SayaDigital di Kelantan.

Menurutnya usaha itu akan diterus bagi melahirkan lebih ramai rakyat yang celik dan mahir digital.

“K-KOMM dan MDEC komited melaksanakan pelbagai program digital di Kelantan khususnya di Kok dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memastikan impak lebih berkesan selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -